PELAKON Ika Nabella meluahkan rasa terkilan apabila cincin berlian pemberian suaminya tertinggal di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo, Jepun.
Meskipun terpaksa reda dengan insiden terbabit, Ika atau nama sebenarnya Nabila Abdul Rahim, 35, mengakui dirinya diselubungi rasa sedih kerana cincin tersebut sangat ‘berharga’ buat dirinya.
“Saya tertinggal cincin berlian pemberian suami di Haneda (Jepun).
“Saya tahu rezeki dalam hidup saya sangat banyak dan mungkin ini satu peringatan lembut daripada Allah.
“Tapi rasa sedih itu masih berbekas kerana cincin ini menyimpan kisah yang sangat berharga,” katanya menerusi Instagram
Story.
Lebih menyedihkan, cincin itu adalah hadiah daripada suaminya, Muhammad Zaid Aznam, semasa dia mengandungkan anak sulung mereka pada 2018.
Pemberian tersebut menjadi simbol cinta dan sokongan suaminya ketika melalui fasa istimewa dalam hidup mereka.
“Ketika itu, saya mengandungkan Muhammad Noah Zayn. Saya kecewa kerana jari membengkak hingga tidak boleh memakai cincin perkahwinan.
“Secara spontan, Zaid mengejutkan saya dengan cincin cantik di KLCC. Semua itu melambangkan cinta dan sokongannya ketika waktu istimewa kami.
“Hilang cincin itu terasa seperti kehilangan secebis kenangan yang berharga,” luahnya.
Ika dan Zaid berkahwin pada 30 Julai 2016 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Noah Zayn, yang kini berusia enam tahun. – HIBGLAM.