3 individu ditahan kes tikam Saif Ali Khan

PIHAK berkuasa mengesyaki cubaan pecah masuk rumah Saif Ali Khan di Mumbai yang mengakibatkan aktor itu cedera parah ditikam sebanyak enam kali didalangi ‘orang dalam’.

Setakat ini polis sudah menahan tiga individu yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan insiden sekitar pukul 2.30 pagi tersebut.

Menerusi semakan awal dari rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di bangunan 12 tingkat itu, tidak kelihatan individu asing masuk atau keluar dari premis berkenaan.

Begitupun, selepas penelitian polis mendapati seorang lelaki mencurigakan yang memakai seluar denim dan berbaju kelabu menyorok di tangga kondominium terbabit.

Siasatan mendapati perompak lebih dulu mengugut pembantu rumah yang ketika itu bersama dua anaknya, Taimur Ali, 8, Khan dan Jeh Ali Khan, 4.

Mendengar jeritan wanita terbabit aktor berusia 54 tahun itu bergegas ke bilik tidur anak lelakinya dan berlaku pergelutan hingga Saif dirodok pisau bertubi-tubi.

Difahamkan demi melindungi diri dan keluarga, pelakon filem Jewel Thief itu sanggup menyabung nyawa melawan penceroboh yang bersenjata.

Perompak terbabit juga dikatakan menuntut sejumlah wang agar dua kanak-kanak terbabit tidak dicederakan.

Namun ketika ada media melaporkan isterinya, Kareena Kapoor tiada di rumah kerana keluar bersama kakaknya, Karisma dan aktres Sonam Kapoor, laporan lain menyebut wanita terbabit berada di tempat kejadian.

Polis Bandra yang menubuhkan tujuh kumpulan bagi menyiasat cubaan rompakan tidak menjadi itu turut meminta media dan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi.

Terdahulu, Saif yang dibawaanak lelakinya, Ibrahim keHospital Lilavati, India pada pukul 3.30 pagi selamat menjalani pembedahan namun masih dalam pemantauan doktor.

Menurut satu laporan, Pegawai eksekutif hospital, Niraj Uttamani berkata, terdapat objek asing iaitu bahagian pisau yang patah sepanjang 2.5 inci ditemui berhampiran tulang belakang bintang Dil Chahta Hai itu.

Menurut doktor, pembedahan tersebut membabitkan usaha mengeluarkan pisau dan memperbaiki cairan tulang belakang yang bocor.

Terdapat juga dua luka lagi di leher kiri dan kanan yang dijalankan pakar pembedahan plastik bahkan keadaan Saif stabil dan sudah ditempatkan di wad pemulihan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok