Wani Kayrie tolak cinta, pilih ‘Aiman Tino’

Selepas lebih setahun tiada produk ‘jualan’, penyanyi Wani Kayrie akhirnya tampil dengan sebuah single baharu berjudul Aiman Tino.

Pelik, namun itulah yang menjadi persoalan. Impak keunikan tajuk single tersebut menggunakan nama penyanyi popular, Aiman Tino, Wani atau nama sebenarnya, Syazwani Abdullah menerima pelbagai reaksi netizan.

Malah, ada yang mendakwa  Wani sengaja memilih judul sedemikian untuk menumpang populariti Aiman Tino sekali gus meraih perhatian khalayak.

“Sebenarnya tidak lebih daripada sekadar nama kerana lagu ini berkisar tentang seorang wanita yang meminati lelaki berwajahnya seperti Aiman Tino.

“Ketika hanya bahagian korus lagu keluar dalam Tiktok, ramai orang kritik dan kecam. Tetapi selepas lagu penuh keluar, semakin banyak komen positif yang saya terima. 

“Saya gembira kerana akhirnya orang faham tentang lagu ini,” jelas Wani.

Tambah Wani,  pihaknya bukanlah sengaja untuk menggunakan nama Aiman Tino dalam lagu, sebaliknya ketika demo diberikan oleh komposer Ezra Kong judulnya sudah sebegitu.

Mengakui terkejut ketika menerima lagu berkenaan, tetapi selepas diterangkan Ezra, Wani menerima lagu bergenre pop itu dengan hati terbuka.

“Saya sangkakan Ezra memberi lagu yang salah. Tetapi Ezra mengatakan lagu ini memang dicipta khas untuk saya.

“Pertama kali saya mendengar lagu Aiman Tino, saya suka rentak yang rancak dan lirik yang mudah untuk semua orang hafal. Muziknya mesra telinga dan bagi saya inilah lagu yang tepat. 

“Sejujurnya, pihak label ada cuba untuk menukar nama tetapi rentaknya tetap hanya sesuai dengan nama Aiman Tino, jadi sebulat suara kekalkan nama tersebut,” luah Wani yang menyifatkan Ezra Kong sebagai komposer yang hebat.

Tiada lain harapan Wani sebagai penyanyi selain lagu Aiman Tino diterima dengan baik peminat dan pendengar muzik.

Enggan cari cinta

Menyambung bicara tentang kisah peribadinya, Wani yang sebelum ini pernah digosip bercinta dengan penyanyi juga pelakon, Afieq Shazwan menolak untuk bercinta dalam masa terdekat.

Kisah cinta mereka kembali hangat diperkatakan apabila Afieq dilaporkan sanggup menunggunya sampai bila-bila.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Wani mendakwa, tidak tahu menahu tentang kenyataan yang dikeluarkan Afieq.

“Afieq kawan baik saya dan kami berkawan sejak kecil. Setakat ini, saya tidak tahu bagaimana perjalanan kami. 

“Jika hendak dikatakan ada hubungan, kami berdua memang sangat rapat. Saya mohon doalah yang baik-baik untuk kami.

“Sejujurnya, belum masanya untuk saya fikir ke arah itu (bercinta). Saya mahu fokus kepada kerjaya dan keluarga terutama ibu yang kini kurang sihat,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran lagu Aiman Tino baru-baru ini.

Lagu Aiman Tino telah dilancarkan di semua platform digital bermula 1 November lalu. – HIBGLAM

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok