Tak ambik penata gaya, Diana Danielle ‘gali’ 5,000 dres

Tampil bergaya ketika Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33), pelakon Diana Danielle membongkar rahsia dengan mengakui terpaksa ‘menggali’ 5,000 dres di sebuah butik pakaian.

Perkara tersebut dilakukan pemilik nama lengkap Diana Danielle Danny Beeson, 33, disebabkan membuat persiapan pada saat akhir sebelum majlis anugerah berlangsung 7 Disember lalu.

“Apa yang jadi ketika itu adalah saya memang seorang yang suka siapkan sesuatu pada saat akhir sehingga saya terlupa tarikh FFM hampir tiba.

“Jadi, saya pun tanya beberapa pereka fesyen dan semuanya cakap tak sempat, tengah sibuk dan sebagainya.

Akhirnya saya pergi ke kedai sewa pakaian yang dalamnya ada 5,000 dres. Disebabkan ini program RTM, jadi saya perlu cari pakaian yang sesuai, jadi saya belek satu persatu.

“Walaupun tak pernah pergi kedai itu, tetapi saya kena usaha untuk ke sana. Alhamdulillah saya gembira kerana pada akhirnya semua baik-baik sahaja,” katanya dalam sebuah audio siar.

Dalam masa sama, pelakon filem Imaginur itu mendedahkan sikapnya yang enggan boros demi pakaian termasuk khidmat penata gaya.

“Almari pakaian saya tidak besar dan tak kisah untuk pakai baju sama berulang kali. Semua kawan saya tahu mengenainya.

Saya sangat kedekut dengan diri untuk mendapatkan khidmat pereka fesyen. Kalau bab makanan atau perkara lain saya tidak kedekut.

“Saya adalah seorang pelakon, bukannya seorang peraga fesyen tetapi, kadang-kadang ada juga dapatkan khidmat penata gaya,” ujarnya lagi.

Berkongsi lanjut, Diana sempat menasihati supaya orang ramai menyamakan harga diri dan harga pakaian yang mereka gayakan.

“Tidak kisah mahal atau tidak, kalau itu adalah gaya anda, tetap akan nampak sesuai.

Bagi saya, jangan letakkan harga diri pada apa yang dipakai.

“Perkara ini sangat penting sebab nanti kita akan rasa harga diri itu bergantung pada apa kita pakai dan bagaimana orang melihat kita,” jelasnya.

Sebelum ini, Diana hadir ke FFM33 bagi menyokong acara terbabit selain tercalon dalam Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Imaginur. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok