‘Jangan jadi seperti saya setahun indenial’

PELAKON baharu Marc Syahmie tidak menyangka sakit tulang belakang  yang dialami hampir setahun dan bengkak di sebelah testis merupakan simptom kepada kanser testis.

Syahmie atau nama sebenarnya, Ahmad Syahmie Mahayudin berasakan dunianya gelap apabila disahkan doktor menghidap kanser testis tahap dua pada usia 25 tahun.

“Saya terduduk juga apabila disahkan ada kanser. Dalam hati tertanya-tanya kenapa saya, sedangkan saya masih muda dan tiada sejarah sakit kanser pun dalam kalangan keluarga,” ujarnya.

Sungguhpun begitu, Syahmie bersyukur kansernya dikesan pada peringkat awal dan belum merebak pada bahagian badan yang lain.

Dalam tempoh sebulan selepas disahkan kanser pada hujung Oktober lalu, Syahmie terus melakukan pembedahan membuang sel kanser pada testis kirinya dan menjalani rawatan kimoterapi.

“Alhamdulillah, saya hanya perlu melakukan kimoterapi sekali sahaja menggunakan dos paling tinggi. Walaupun sekali memang nampak kesannya seperti rasa loya dan keletihan.

“Selepas seminggu rawatan kimoterapi saya sudah boleh jalani kehidupan seperti biasa, malah saya sudah mula bekerja. Mengikut kata doktor, saya boleh sihat sepenuhnya dalam kerana usia masih muda,” kata pelakon mesra dibahasakan Syahmie itu.

Biarpun kanser testis meninggalkan stigma negatif, Syahmie terpanggil berkongsi perjalanan kansernya demi memberi kesedaran kepada orang ramai.

“Jujur, mulanya saya malu kerana sedar pelbagai stigma akan bermain di fikiran orang, tetapi jika saya tidak kongsi, orang tidak tahu.

“Kanser testis boleh menyerang lelaki yang berusia 25 tahun ke atas dan jika dikesan lebih awal akan dapat menyelamatkan nyawa dan memberi kualiti kehidupan lebih baik.

“Saya buang rasa malu supaya lebih ramai lelaki tahu tentang kanser testis. Jika ada rasa abnormal pada badan, tolong lakukan pemeriksaan di hospital. 

“Jangan jadi seperti saya yang berada dalam fasa penafian (indenial) selama setahun,” katanya.

Sambung Syahmie meskipun melakukan pembedahan membuang testis kirinya, dia boleh menjalani kehidupan seperti biasa termasuk berkahwin dan memiliki anak.

“Inilah yang ramai orang takut, dengan teknologi yang ada, kualiti kehidupan bekas pesakit kanser lebih baik,” jelas Syahmie yang juga seorang model.

Berbicara tentang karier seni, Syahmie yang memenangi tempat kedua program pencarian bakat Fit For Action TV3 pada 2022 aktif berlakon dengan membintangi beberapa buah drama selain sebagai model peragaan.

Antara drama lakonannya, Geng Daddy Daddy, Cinta Kedua, Keria Women, Bintang GV Dikejar Zombie, Hati Terpaut Sayang dan terbaharu Skuad X: Dari Jalanan Ke Perjuangan  dalam slot Lestary TV3.

Semangat

“Drama Skuad X adalah drama pertama saya memegang watak utama. Tetapi karakter sebagai Khai dalam drama itu tidak jauh beza dengan diri saya sebenar, jadi agak mudah untuk berlakon.

“Cuma seronoknya drama ini yang mengisahkan empat remaja memiliki kuasa luar biasa banyak menggunakan imej janaan komputer (CGI). 

“Satu kelainan kerana sebagai Khai saya mempunyai kuasa menghentikan masa dan memukau orang,” kata Syahmie yang bakal memasuki set penggambaran drama terbaharu tidak lama lagi.

Selain berlakon, Syahmie juga sedang melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda jurusan Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.

Meski diserang kanser, semangat Syahmie begitu kuat dan tidak menghalangnya untuk mencapai impian yang diingini.

“Kanser bukanlah penamat kehidupan, sebaliknya menjadikan saya lebih bersyukur dan memandang kehidupan daripada sudut berbeza. 

“Ibarat diberi peluang kedua, saya akan gunakan ‘masa’ yang diberi sebaik mungkin  dan meneruskan karier dalam bidang seni,” tutup Syahmie.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok