BIARPUN ditawarkan bayaran mencecah enam angka untuk menjadi duta jenama pakaian terkenal tanah air, bekas peragawati dan pelakon Zahnita Wilson memilih untuk tidak melakukannya.
Menurut pemilik nama sebenar Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, itu, meskipun tawaran itu bernilai RM150,000 dia tidak lagi berminat untuk kembali ke dunia peragaan.
Saya minta maaf, dengan rendah diri saya terpaksa tolak tawaran itu. Tidak dinafikan RM150,000 memang banyak tetapi peragaan bukan lagi dunia saya.
“Jakel menawarkan saya menjadi wajah kempen raya untuk tiga bulan tetapi saya terpaksa menolak,” katanya.
Dalam masa sama, pelakon filem Gila-Gila Pengantin Remaja itu hanya mahu fokus berniaga dan membesarkan empat anaknya.
Saya mahu beri tumpuan kepada bisnes pai dan anak-anak tetapi kalau ada tawaran kecil-kecilan daripada kawan-kawan, insya-Allah saya akan bantu peragakan.
“Jika tawaran tersebut membantu masyarakat dan golongan wanita, saya akan datang,” jelasnya.
Mengulas mengenai perancangan perniagaannya, Zahnita berkata dia berharap dapat menjual 100,000 pai tahun depan.
Saya akan terus menjadi diri sendiri seperti biasa dan menggunakan media sosial sebagai platform mempromosikan perniagaan ini.
“Sasaran saya bulan ini nak buat 3,000 pie dan harap dapat capai penjualan 100,000 pie pada tahun depan. Ketika memulakan bisnes, saya minta Allah tunjukkan jalan.
Saya juga pernah berniat nak hantar 1 juta pie ke Palestin. Mungkin sebab itu Allah beri rezeki ini,” kongsinya.
Isnin lalu, Zahnita mengejutkan ramai apabila memuat naik foto menampakkan mata lebam dan mendakwa dipukul suaminya selepas bertanya tentang kehadiran orang ketiga.
Menurut Zahnita, dia mendedahkan kesengsaraan itu selepas tidak lagi mampu bertahan dalam tempoh 20 tahun hidup bersama. – HIBGLAM