Old money: Jangan politikkan fesyen – Awal Ashaari

Digelar ikon fesyen, Awal Ashaari tidak terlepas daripada diusik kebimbangannya apabila gerakan fesyen dan komuniti ‘old money’ yang menjadi trend sekarang ini disalah erti orang ramai.

Apa yang lebih menggusarkan Awal adalah gerakan ‘old money’ di Malaysia yang dipelopori pempengaruh media sosial, Andika Putera mengenakan yuran keahlian kepada pengikutnya.

“Banyak pihak yang memerhati kerana kita tidak sewenang-wenangnya boleh mengambil dana awam, perlu ada laporan ke mana duit itu disalurkan.

“Bagi saya perkara ini perlu dikaji terlebih dahulu sebelum tubuhkan komuniti dan mengambil yuran keahlian. Melainkan ahli mendapat manfaat, contohnya, diadakan kelas komunikasi dan pelbagai seminar lain, itu munasabah.

“Tetapi hanya mengutip yuran tanpa manfaat, itu tidak boleh. Jangan ambil kesempatan di atas kesempitan orang lain. Adakalanya, anak-anak muda hanya mahu mengikut trend dan diterima komuniti, jadi mereka sanggup bayar tanpa fikir panjang,” ujar Awal.

Awal menasihatkan orang ramai agar jangan mudah ‘tertipu’ dengan gerakan ‘old money’.

Dalam pada itu, Awal atau nama sebenarnya, Ahmad Awaluddin Ashaari, 43, yang sering menjadi pilihan jenama terkenal antarabangsa menegaskan fesyen adalah untuk diraikan semua pihak.

Justeru, apabila wujud gerakan atau komuniti fesyen, perkara tersebut seolah-olah memecah-belahkan peminat fesyen.

“Jangan politikkan fesyen! Disebabkan trend ‘old money’ sedang hangat sekarang ini, jika tidak masuk geng tersebut dikira ketinggalan. Bagi saya perkara itu bersifat negatif,” kata Awal.

Salah erti

Tambah suami kepada pelakon Scha Alyahya itu, ‘old money’ sememangnya menjadi trend di seluruh dunia dan konsep sebenar trend berkenaan adalah tidak berlebih-lebihan dalam fesyen, (less is more).

“Sebenarnya trend ini adalah berkisar tentang pakaian sederhana yang kemas tanpa perlu menonjolkan jenama atau logo. Maknanya pakaian itu memang kelihatan mahal tanpa anda tahu atau tunjuk jenamanya,” ujar Awal.

Sungguhpun begitu, apa yang mengecewakan Awal adalah trend tersebut telah disalah ertikan oleh masyarakat Malaysia dan mengaitkannya dengan kewangan berbanding fesyen.

 “Gerakan di Malaysia saya lihat lebih pada duit. Apa yang kita tahu ‘old money’ adalah istilah kepada mereka yang dilahirkan daripada keturunan yang kaya raya.

“Sementara, ‘new money’ pula mereka yang kaya secara tiba-tiba, jadi telah disalah ertikan. Saya tidak salahkan sesiapa mungkin individu yang membuat gerakan ini memang mahu dikenali dengan kewangan,” tutur Awal.

Sebagai peminat fesyen, Awal melihat gerakan sebegini daripada sudut positif apabila lebih ramai anak muda mula memakai pakaian yang kemas.

“Saya tidaklah menolak seratus peratus, kerana saya suka melihat pengikut gerakan ini memakai pakaian yang kemas dan cantik.

“Sekurang-kurangnya fesyen yang sebelum ini terlihat ‘mahal’ dan ‘mewah’ turut digayakan orang awam. Tidak perlu pakaian yang mahal cukup sekadar kemas dan sesuai dengan bentuk badan,”  kata Awal yang ditemui pada majlis pelancaran program Innovathon musim kedua, baru-baru ini.

Innovathon

Berbicara tentang perkembangan karier seninya, Awal kembali sebagai pengacara program realiti inovasi iaitu Innovathon musim kedua bersama Amelia Henderson.

Jelas Awal, meskipun Innovathon bukanlah sebuah program hiburan, malah turut melibatkan dua menteri kabinet iaitu Menteri Ekonomi, Mohd. Rafizi Ramli dan juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang, program berkenaan tetap menghiburkan.

“Memang agak berbeza kerana tiada persembahan nyanyian atau selingan hiburan dan lawak, tetapi apabila kita meletakkan peserta yang tidak pernah muncul di televisyen seperti graduan universiti dan profesor, pelbagai kejadian spontan berlaku.

“Dalam tempoh lima minit mereka harus memukau juri, jadi dalam tertekan banyak perkara di luar jangkauan terjadi dan inilah tarikan program ini.

Awal bergandingan dengan Amelia Henderson dalam program baharu, Innovathon. – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

“Penonton juga boleh melihat menteri dari sisi yang berbeza. Rupanya dalam serius mereka semua ada sisi yang santai dan kelakar,” beritahu Awal.

Buat pertama kali mengacarakan program bersama Amelia, kata Awal banyak perkara yang dipelajari terutama mengacara program secara spontan.

“Mudah bekerja dengan Amelia, walaupun sangat berbeza dengan saya. Mungkin ini cara Gen Z bekerja, mereka tidak mempunyai sebarang perancangan dan begitu jujur apabila di atas pentas (ketawa).

“Saya telah terbiasa merancang A– Z, jadi ini satu pengalaman yang baharu dan saya perlu mengubah cara kerja untuk mengikut arus. 

“Amelia ceria dan spontan, tetapi itulah yang menghidupkan lagi program ini,” luah Awal.

Program Innovathon musim kedua bersiaran setiap Sabtu menerusi saluran Astro Ria dan TV1 bermula 30 November lalu.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok