Persembahan peserta Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11), Nai Dinamik terpaksa dihentikan selepas terdapat masalah teknikal yang berlaku.
Pembukaan nyanyian Nai yang menyanyikan lagu Apa Lagi Nak Dikata daripada kumpulan XPDC tidak kedengaran kerana masalah mikrofon.
Namun dia tetap meneruskan persembahan sehingga akhirnya diminta untuk berhenti oleh dua juri iaitu Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang.
Mereka memintanya untuk kembali memulakan persembahan sekali lagi.
Selepas kembali memulakan persembahan, Nai dilihat agak bergelut dengan tempo dan lirik lagunya sehingga dia terdiam.
Penonton yang hadir di Dewan MBSA membantunya dengan menyanyi beramai-ramai bersamanya lantas menaikkan semula semangatnya untuk menghabiskan persembahannya.
Ramli MS sewaktu memberikan komen berkata, masalah teknikal biasa terjadi dalam program secara langsung.
“Saya terpaksa hentikan persembahan tersebut kerana tidak adil untuk dia. Saya kongsikan satu kisah, arwah Mael juga tercungap-cungap sewaktu menyanyikan lagu ini temponya lebih laju. Apa-apa pun terima kasih kerana telah membuat persembahan,” katanya. – HIBGLAM