‘Diana, Farid tiada lagi persefahaman, bergaduh yang tidak boleh dibaiki’

TIADA lagi persefahaman dan perbalahan yang panjang membuatkan pelakon Diana Danielle tekad memfailkan penceraian kali kedua terhadap suaminya Farid Kamil di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.

Perkara itu dimaklumkan peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Diana selepas pelakon itu selesai memfailkan permohonan cerai tersebut.

Menurut Akberdin pemfailan permohonan cerai hari ini dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Alasan cerai ialah Diana tidak boleh lagi hidup bersama (dengan Farid), tiada lagi persefahaman dan shiqaq berpanjangan (perbalahan yang berpanjangan)…bergaduh yang tidak boleh dibaiki. Namun untuk menyatakan secara terperinci tidak perlu,” katanya yang turut memaklumkan Diana dan Farid sudah tidak tinggal sebumbung sejak sebulan yang lalu.

Dalam pada itu, selain permohonan cerai, Diana turut memfailkan satu lagi permohonan iaitu rujuk berikutan penceraiannya dengan Farid pada tahun lalu.

Akberdin berkata permohonan rujuk tersebut adalah sebagai bukti mereka sudah bersama semula sebagai suami isteri.

Justeru mahkamah kemudian menetapkan 20 November ini bagi sebutan kes pertama bagi permohonan cerai itu,” katanya.

Terdahulu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, tiba pada pukul pukul 9.15 pagi dengan mengenakan jubah hitam bersama peguam syarienya.

Bagaimanapun pada ketika ini suaminya Farid atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 43, tidak hadir ke mahkamah.

Sebelum ini Diana meminta Farid menghormati permintaannya agar segera berpindah dari kediaman memandangkan mereka bakal bercerai.

Saya tidak akan benarkan hal yang tak pernah berlaku dikatakan berlaku. Saya juga tidak mahu sebumbung lagi seperti yang sudah dimaklumkan sendiri kepadanya. Sila hormati,” katanya menerusi perkongsian dalam InstaStory.

Kenyataan pelakon filem Imaginur itu dikeluarkan susulan dakwaan Farid yang membuat pengakuan mereka masih lagi berhubung dan tinggal sebumbung.

Malah, pelakon dan pengarah terbabit turut menyifatkan kemelut rumah tangga yang berlaku buat kali kedua bersama isterinya itu sekadar perselisihan faham kecil.

Minggu lalu, dunia hiburan gempar apabila Diana mengumumkan mahu memfailkan perceraian buat kali kedua menerusi perkongsian dalam Instagram Story.

Difahamkan, ketika itu Farid sedang menjalani penggambaran filem baharu bertajuk Bisikan Dosa di Kuang, Selangor.

Terdahulu, pada 10 Mac tahun lalu, Diana pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di Subang Bestari.

Ketika itu alasan yang diberikan adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Farid dan Diana kemudian sah bercerai talak satu menerusi aplikasi Google Meet pada 10 Ogos 2023, namun mereka rujuk sebulan kemudian.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok