‘Banyak kekurangan diri ini, usah idolakan saya’

KEMASYHURAN diraih selama berdekad ternyata meletakkan vokalis Wings ini pada tahap yang sukar digugat biarpun industri hiburan diwarnai ramai penghibur berbakat besar.

Bagi pemilik nama lengkap Ahmad Azhar Othman, segala kurniaan termasuk bakat dimiliki adalah pinjaman daripada Allah yang harus disyukuri, bukan untuk dimegahkan di atas dunia.

Akuinya, nikmat rezeki tersebut ingin dikongsi bersama pencinta muzik, seterusnya menjadi punca pendapatan menyara keluarga menerusi perniagaan yang bermula dengan karier nyanyiannya biarpun berdepan dugaan.

“Alhamdulillah, semua ini rezeki Allah. Hampir 40 tahun saya dapat membesarkan keluarga dan berkongsi pula rezeki dengan orang sekeliling saya termasuk mereka yang bekerja dengan saya. Bermula sebagai penyanyi, evolusi karier saya berkembang dengan membuka perniagaan yang bersangkut paut dengan industri muzik dan hiburan termasuk nenerusi Rumah Produksi Merah dan Awie Entertainment.

“Orang mungkin tidak tahu jatuh bangun saya dalam bidang perniagaan, tapi apabila pandang wajah anak-anak dan pekerja, saya dapat kekuatan untuk bangkit semula kerana ini punca rezeki kami,” kata sosok bergelar Awie kepada HibGlam.

Menyedari puja puji khalayak, anak jati Gombak itu cukup terharu dengan kepercayaan ramai.

Awie tidak berharap dijadikan idola dek perasaan kerdil dan banyak kekurangan yang begitu menebal dalam diri.

Semua itu bagaimana tidak menjadikan dia selesa, sebaliknya canggung dijadikan idola. Dia percaya percaya di luar sana lebih ramai individu lain yang sangat hebat sebagai teladan.

“Bukan saya tak suka dijadikan idola. Cuma saya rasa terlampau kerdil. Jadi jangan idolakan saya kerana saya sendiri banyak kekurangan. Lebih baik contohi pemuzik atau penggiat seni lain yang lebih bagus serta mempunyai sikap baik. Doakan saya ke arah itu.

“Apa pun, dalam kehidupan ini saya juga anggap diri bertuah dapat berjumpa ramai orang dengan pelbagai latar belakang serta pengalaman yang menyuntik hal positif,” ujarnya.

Ditanya rahsia yang membuatkan peminat terus menghargainya, akui Awie, kebersamaan tanpa meletakkan jurang sesama insan meletakkan dirinya di tempat sekarang.

Jangan sombong, itu sahaja. Saya suka layan orang sama rata tidak kira siapa pun dia. Bukan kerana seseorang itu punya status, barulah saya nak sapa, bukan begitu caranya. Sebagai insan yang punya perasaan, sudah tentu kita juga mahu dilayan baik. Ikhlas, itu juga kata kunci keberkatan. Barangkali itu yang membuatkan orang ramai dan peminat berasa dekat dengan saya,” katanya ramah.

Mengakui tiada apa lagi yang dikesali mahupun dikejar pada usia bakal menginjak 56 tahun menjelang 24 November ini, keluarga adalah fokusnya.

Demi Belahan Jiwa 

Dedah bapa kepada tujuh cahaya mata itu, melihat anak-anak membesar di depan mata, termasuk si sulung bakal mengikuti pengajian sarjana, manakala si si bongsu baru mencecah empat bulan merupakan kebahagian paling abadi.

“Merekalah harta saya dunia akhirat, bukan banglo besar, kereta mewah, semua itu tiada nilai buat saya jika tanpa mereka. Demi belahan jiwa itulah saya bekerja keras. Saya mahu anak-anak belajar setinggi mampu untuk menjadi insan berilmu, tetapi pada masa sama seimbang dunia akhirat. Jika ada dalam kalangan mereka mahu mengikut jejak saya ke dunia seni terpulang, cuma kena habis belajar. Sekarang pun pengajian anak-anak yang berada di peringkat universiti masih berkaitan seni,” luahnya bangga.

AWIE lega apabila syarikatnya, Rumah Merah dan Awie Entertainment boleh menjadi jaminan dan persediaan masa depan anak-anak.

Terlanjur bercerita perihal keluarga, perbualan menjurus kepada anak ketujuhnya, Arjuna yang baru mencecah empat bulan. Pada usia ini keseronokan mengulit bayi sukar diungkapkan Awie.

Sekarang kalau jalan dengan bayi ada yang berseloroh ‘cucu ke’, lucu juga. Boleh bayangkan sedekad lagi pada waktu saya 65 tahun, anak keenam saya akan berusia 14 tahun, manakala anak ketujuh ini 10 tahun. Tapi mana tahu selepas ini Allah nak bagi rezeki anak kelapan? Alhamdulillah sahaja. Paling penting sesibuk mana pun kena ambil tahu hal anak-anak.

“Yang dewasa dan melepasi usia 20-an lain pendekatannya, begitu juga yang belasan tahun, apa pun sebagai ayah saya cuba luangkan masa berkualiti. Kalau tiada apa-apa urusan kerja, saya memang ‘lekat’ di rumah. Tolong tengok anak-anak, cuma selalu hujung minggu agak sibuk dengan ‘show’ selain kerja pejabat atau mesyuarat,” kongsi suami kepada Datin Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin itu.

Biografi Wings

Sempena ulang tahun penubuhan band ‘keramatnya’, Wings yang ke-40 tahun hadapan, ada projek istimewa menanti. Selain konsert yang pernah diuar-uarkan sebelum ini, Awie bersama Black, Eddie, Syam dan Edrie Hashim mahu merealisasikan sebuah filem biografi.

“Agenda itu dikendalikan Awie Entertainment. Konsert Rock Warrior serta konsert ulang tahun empat dekad Wings juga berjalan seiring di bawah Rumah Produksi Merah,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok