JENAMA fesyen tempatan, Rizman Ruzaini sanggup berhabis RM3 juta untuk mendapatkan khidmat model antarabangsa Naomi Campbell bagi memperagakan busana rekaan mereka di Minggu Fesyen Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE) pada Oktober tahun lalu.
Kata perekanya, Rizman Nordin, 40, awalnya perancangan untuk mendapatkan khidmat model tersebut berdepan jalan buntu.
“Awalnya ramai yang tidak bersetuju untuk menggunakan khidmat Naomi kerana bayaran terlalu mahal.
“Dalam perbincangan pada Jun tahun lalu, dia tidak memberi maklum balas. Kemudian pada bulan lapan (Ogos) akhirnya perkara itu dapat direalisasikan,” katanya dalam satu video audio siar.
Dalam pada itu, Rizman memberitahu, pihaknya hampir menanggung kerugian selepas pihak pengurusan model terbabit menaikkan harga secara tiba-tiba.
Bagaimanapun, perkara tersebut tidak berlaku selepas Naomi mengetahui perkara itu dan mengekalkan harga asal iaitu AS$350,000.
“Harganya tiba-tiba meningkat selepas dia menjadi penghias muka depan majalah Vogue dan siaran dokumentari mengenainya. Disebabkan itu bayarannya naik mendadak.
“Mungkin kerana kami pereka dari Malaysia, jadi mereka ingin ‘ketuk’ sebab bayarannya mencecah lebih RM4.5 juta.
“Kemudian kami sendiri berbincang dengan pihak Naomi dan akhirnya dia (Naomi) bersetuju dengan harga asal,” katanya.
Terdahulu, Naomi menggenakan gaun putih hitam dan dihiasi dengan kristal serta dipadankan dengan jaket bolero untuk koleksi musim bunga/panas 2024.
Rekaan tersebut turut diilhamkan daripada lagenda rakyat Nusantara iaitu Naga Seri Gumum yang mengisahkan tentang naga tidur di Tasik Chini, Pahang.
Sebanyak 60 rekaan bertemakan Spring Summer 2024 dipentaskan sepanjang pertunjukkan fesyen tersebut. – HIBGLAM