PEREKA fesyen Emran Rijal tidak menjadikan komen negatif pengarah terkenal, Michael Ang mengenai busana rekaannya untuk Hussain di pentas Big Stage Rocketfuel sebagai pelemah semangatnya untuk terus berkarya.
Menurut pengasas jenama Emri Vision jrh, dia sentiasa terbuka menerima komen positif dan negatif untuk memperbaiki hasil kerjanya.
“Semua orang ada pendapat sendiri dan berhak bersuara. Saya terima dan dengar komen positif ataupun negatif. Tetapi setakat ini lebih banyak komen positif yang saya terima.
“Sebagai seorang penggiat industri, dia (Michael Ang) sepatutnya memberi semangat kepada artis-artis yang baru nak naik.
“Saya tak akan jadikan komen negatif sebagai sesuatu yang boleh melemahkan semangat saya. Bak kata Hussain, ‘buckle up and stay humble’,” katanya ketika ditemui di sidang media KL Fashion Week 2026, hari ini.
Tambah suami kepada pempengaruh, Tyra Kamaruzzaman itu lagi, Hussain sendiri yang mahukan rekaan gaya koboi.
“Baju itu sangat susah untuk dibuat. Tetapi kita berjaya siapkan dalam masa empat hari sahaja.
“Rekaan itu apa yang dimahukan oleh Hussain sendiri. Bila dia pakai baju tu dia rasa yakin. Dia boleh ‘carry’ baju tu.
“Tetapi selepas tamat konsert, Hussain mesej saya minta maaf. Katanya’ abang saya minta maaf, persembahan saya minggu ini agak menghampakan. Hussain harap abang tak kecewa untuk bekerjasama dengan Hussain’.
“Saya balas tak mengapa. Saya terhibur dengan persembahan. Bagi saya Hussain bukan sahaja seorang penyanyi yang hebat, tetapi mempunyai personaliti yang menakjubkan” kongsinya.
Terdahulu Michael mengkritik gaya Hussain di konsert minggu kedua Big Stage Rocketfuel hujung minggu lalu.
Menurutnya, konsep koboi yang dibawakan Hussain kelihatan seperti ‘girl-girl’ patah.
Tidak terhenti di situ, Emran dilihat membalas komen Michael dengan menjelaskan konsep sebenar yang diinspirasikan oleh Pharrell Williams.
Situasi tersebut menjadi semakin hangat apabila Michael membalas dengan melabel rekaan Emran sebagai fesyen ‘cut and paste’. – HIBGLAM
