DALAM tempoh satu malam Tabung Bersamamu Rafah berjaya mendapat kutipan sebanyak RM300,000.
Tabung Bersamamu Rafah dilancarkan dengan kerjasama Musolla Aisya yang dinaungi oleh aktres, Datin Seri Umie Aida dan Pertubuhan Erat Kasih Alha Alfa (PEKAA) yang bertujuan meringankan beban rakyat Palestin.
Menurut Umie Aida, pihaknya bersyukur kerana Tabung Bersamamu Rafah berjaya mengutip dana sebanyak RM300,000 meskipun sasaran asal adalah RM500,000 semalam.
Objektif kita pada malam ini (semalam) memang nak duit, hanya dengan kutipan duit kita dapat membantu saudara kita di sana.
“Saya bersyukur ditemukan dengan Datuk Alha yang telah menggunakan platform sebagai penaja untuk war-warkan program ini dan membuat jualan amal produk Alha Alfa dengan seratus peratus kutipan disalurkan ke Tabung Bersamamu Rafah.
“Semoga program yang dilakukan ini memberi inspirasi kepada orang ramai untuk membantu saudara kita di sana,” kata Umie Aida.
Selain sumbangan daripada syarikat dan orang perseorangan, terang Alha pihaknya juga memberi ruang kepada orang ramai untuk turut sama membantu apabila membuka kutipan tabung sehingga 8 Jun ini.
Kami akan membuka Tabung Bersamamu Rafah selama dua minggu kepada orang awam. Sumbangan boleh dibuat menerusi kod QR yang disalur terus kepada PEKAA.
“Semua kutipan akan diberikan kepada Cinta Gaza Malaysia,” kata Alha Alfa.
Pada majlis yang sama lagu Bersamamu Rafah nukilan Yuka Karisma turut dilancarkan. Menariknya lagu tersebut dinyanyikan secara duet bersama Umie, Alha, Idayu dan Zizi Kirana.
Kerjasama strategik ini turut disokong oleh rakan kolaborasi, Cinta Gaza Malaysia dan AICT Global, dalam memastikan matlamat kutipan dana ini dapat dicapai.
Majlis ini juga diserikan dengan kehadiran 80 orang selebriti dan pempengaruh Malaysia, ahli perniagaan serta perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang turut serta memberi sokongan terhadap inisiatif mulia ini. – HIBGLAM