KEHILANGAN anak sulung, Allahyarham Andre Mikhail Khairil Izhar akibat kanser paru-paru Ramadan lalu merupakan fasa terpilu yang perlu dilalui Amyza Aznan.
Ibarat luka dan sedih yang akan dibawa sehingga mati itu yang pernah dituturkan wanita berusia 50 tahun tersebut kepada HibGlam sebelum ini.
Namun, ujian yang dilaluinya masih berterusan apabila anak kedua, Adrian Adam yang baru berusia 18 tahun pula disahkan menghidap kanser tulang. Dugaan yang bertimpa, namun tetap kuat dihadapi aktres tersebut.
Mengakui adakalanya jiwanya juga rapuh dalam melalui dugaan yang diaturkan Tuhan ketika ini, Amyza masih mengais kekuatan setiap hari untuk meneruskan hidup demi anak-anaknya.
Siapa tahu, di sebalik semua kepahitan dan kedukaan ditempuh Amyza dan Adrian, hadir jutaan rezeki lain yang tidak pernah dijangka.
Kehadirannya di program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) beberapa minggu lalu boleh dikatakan membuka lebih banyak pintu rezeki buat dua beranak tersebut.

ADRIAN terus meraih perhatian ramai apabila menonjolkan bakat nyanyian di sebuah program realiti baru-baru ini.
Siapa tahu, nyanyian merdu Adrian mendendangkan lagu Ku Mohon di pentas TTMM2 meruntun jiwa ramai yang dalam masa sama menghadirkan pelbagai rezeki lain.
Salah satunya adalah apabila beberapa nama besar berlumba-lumba mahu menghasilkan single buatnya seperti Aisha Retno dan Shiha Zikir.
Tidak terhenti di situ, Datuk Aznil Nawawi yang tersentuh melihat ketabahan dua beranak itu turut memulakan tabung infak orang ramai.
Bukan seribu dua tetapi jumlah yang berjaya dikutip menerusi tabung tersebut mencecah ratusan ribu ringgit.
Aznil atau Pak Nil, 64, berkata, wang hasil sumbangan orang ramai itu akan dipindahkan terus ke akaun bank peribadi Amyza sebaik selesai urusan penutupan akaun secara rasmi.
Tidak menyembunyikan jumlah yang terkumpul, Aznil berkata, sebanyak RM191,947.73 berjaya dikutip daripada hasil sumbangan orang ramai.
Begitulah penangan prihatin, simpati dan kasih sayang rakyat Malaysia bagi meringankan beban Amyza dan Adrian ketika ini.

TERHARU dengan keprihatinan dan kasih sayang rakyat Malaysia terhadap anaknya, Amyza berdoa setiap kebaikan yang diterima dibalas berlipat kali ganda oleh Tuhan.
Umrah
Rezeki Tuhan yang terus mengalir, Amyza dan Adrian sekali lagi dikejutkan dengan berita gembira apabila pemilik sebuah syarikat pelancongan menzahirkan hasrat untuk menaja mereka menunaikan ibadah umrah.
Meski tidak memperincikan mengenai tawaran tersebut, aktres tersebut menganggapnya sebagai hadiah terindah yang diterima pada Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Paling menyentuh hati, menjejakkan kaki ke Tanah Suci merupakan impian Adrian selepas didiagnos menghidap kanser tulang pada Ramadan lalu.
Ini berita manis sempena Hari Raya Aidiladha. Hadiah ini rasanya lebih mahal daripada yang lain.
“Adrian ada cakap nak pergi sana (Tanah Suci), dia teringin nak pergi, berdoa,” tuturnya.
Hilang kata-kata dengan semua bantuan yang diterima ketika ini, dia hanya mampu berdoa setiap kebaikan dibalas berlipat kali ganda oleh Tuhan.
“Terima kasih kerana berada di dalam kasut saya, tidak minta semua ini.
Saya doakan terbaik sahaja kepada semua yang membantu dan sayangkan Adrian serta anak-anak saya.
“Semoga Tuhan balas segala-galanya berkali ganda,” ujarnya. – HIBGLAM
