Selepas dituduh ‘makan’ royalti album Rockology Search: Kid’Din Collection, pemain gitar Din dan Kid tampil menangkis dakwaan tersebut.
Kata Din atau nama lengkapnya Nordin Mohd. Taib, 60, sekiranya timbul ketidakpuasan hati mengenai apa-apa isu, semuanya perlu diselesaikan mengikut saluran undang-undang.
Saya pernah cakap dulu, kalau nak bincang ada syarat. Jalan paling baik adalah selesaikan di mahkamah.
“Takut nanti banyak lagi cakap, keluar cerita yang jadi berlainan dan tidak betul.
Sebab apa kami tidak saman? Kalau sebut nanti jadi sensitif, yang faham sahaja faham,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Kongsi Din lagi, semuanya sudah dijelaskan beberapa tahun lalu tetapi tiada sebarang respons diberikan sehinggalah tahun ini isu sama dicetuskan semula.
Orang bersalah memang banyak cakap. Benda ini kena bincang, pada saya sudah lapuk kerana saya dah jawab perkara sama semasa Konsert Search Rockin’ On Rooftop.
“Tengok Facebook lama, saya pernah buat siaran langsung dan nyatakan mengenai album Rockology.
Saya sudah jawab, mereka yang tidak memberi maklum balas. Cuma, kali ini lebih hebat cara mereka,” ujarnya.
Sementara itu, adiknya iaitu Kid atau nama sebenarnya Hamzah Mohd. Taib, 56, turut berharap pihak sana menggunakan saluran betul untuk berhujah kerana dia hanya mahu fokus kepada peminat.
“Bukan tidak mahu cakap tetapi mentaliti saya bukan begitu. Peminat tahu tiada apa yang disorokkan dan faham keadaan sebenar.
Kita ada undang-undang, kalau tidak puas hati boleh guna saluran betul. Biarlah yang bergaduh kami sahaja, yang penting peminat bahagia,” katanya.
Baru-baru ini, Amy mendakwa tidak menerima royalti album Rockolgy yang diterbitkan tanpa pengetahuan dirinya dan seorang lagi anggota Search, Nasir dan juga Allahyarham Yazit.
Kumpulan Search kini berpecah dua iaitu yang dianggotai pemain gitar adik-beradik, Noordin dan Kid serta satu lagi kumpulan dianggotai Amy, Nasir Daud (bass), Man Kidal (gitar) dan Hillary Ang (gitar) yang turut menggunakan nama sama iaitu Search.
Diskografi Rockology Search : Kid’Din Collection Series yang mengandungi 17 barangan istimewa antaranya cakera padat kompilasi lagu berat mula dijual pada 17 November 2021 dengan harga RM299. – HIBGLAM