Tersasul bukan berpeluh-peluh tapi bersungguh-sungguh – Nabil Mahir

Saya minta maaf kepada pihak yang tersinggung dengan kata-kata saya. Sebenarnya saya nak cakap bersungguh-sungguh, tapi terkeluar berpeluh-peluh”.

Itu respons pengacara, Nabil Mahir ketika tampil memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengannya sewaktu mengumumkan berita kehamilan cahaya mata kedua isterinya iaitu pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat pada 25 Julai lalu.

Nabil, 35, ketika ditemui HibGlam berkata, dia tersasul ketika berkongsi berita gembira itu dan mengakui sering tersalah cakap sejak dahulu lagi.

“Saya nak cakap ‘bersungguh-sungguh’. Tapi bila nampak orang ramai (wartawan), terus jadi ‘berpeluh-peluh.

“Sejak dahulu lagi orang tahu saya ‘kaki sasul’. Lepas cakap, baru saya sedar. Tapi benda dah lepas, jadi tidak mengapalah,” ujarnya.

Tambahnya lagi, selepas video dan berita pengumumannya itu tular, dia tidak menyangka perkara tersebut menjadi isu sehingga membuatkan segelintir pihak tidak senang dengan kata-katanya itu.

Saya tidak tahu rupa-rupanya ada pihak tidak senang dengan cara pengumuman saya. Sejujurnya saya hanya mahu kongsikan berita gembira sahaja (tentang kehamilan Ayda).

“Lagi sekali saya minta maaf pada mereka yang terasa,” katanya.

Sementara itu, Ayda ketika ditemui di majlis pelancaran produk Baharu Aurawhite Dazzle di sini, semalam berkata, netizen pada hari ini cukup sensitif walaupun melibatkan hal yang kecil.

Saya perhatikan netizen hari ini memang sangat sensitif berbanding dahulu. Sekarang, kalau tersalah cakap sikit, benda boleh jadi besar.

“Tapi saya okay sahaja sebab dah biasa. Semua orang ada hak untuk bercakap. Nabil pun tidak risaukan saya sebab dia tahu bagaimana saya kawal emosi,” jelasnya.

Terdahulu, Ayda atau nama lengkapnya Nur Shuhada Jebat, 32, membuat kejutan apabila memaklumkan hamil lima bulan.

Tidak sendirian membuka mulut, peserta pertandingan Famili Duo itu turut meminta suaminya tampil ke pentas bercerita tentang perkara tersebut.

Perkara yang kami mahu kongsi hari ini ialah, saya dan Ayda sudah ‘bekerjasama serta berpeluh-peluh’ mencuba untuk mendapatkan zuriat kedua.

“Alhamdulillah, kandungan sudah berusia lima bulan,” kongsinya.

Bagaimanapun, perkataan yang digunakan Nabil (berpeluh-peluh) ketika mengumumkan berita kehamilan Ayda telah mengundang pelbagai reaksi netizen.

“Buat malu. Dunia akhir zaman,” tegur seorang netizen.

“Kelambu rumah tangga pun nak kongsi,” kata seorang lagi netizen.

“Sedih. Mana maruah, rasa segan dan malu?” komen seorang pengguna Facebook.

Ayda mendirikan rumah tangga dengan Nabil pada 1 Januari 2021 dan dikurniakan anak pertama, Ana Nayla, 2, pada 21 September tahun yang sama. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok