“MEMANG mulut saya jahat tapi tak perlulah sihir sebab terlalu sakit.”
Demikian pendedahan pengacara sensasi Azwan Ali atau mesra disapa Diva AA yang mendakwa dirinya sakit akhibat disihir individu yang tidak berpuas hati dengannya.
Gagal menahan sebak sehingga menitiskan air mata, Azwa, 57, memberitahu, dia telah ‘diserang’ dengan ilmu hitam sejak minggu lalu sehingga aktiviti hariannya terganggu.
“Sebenarnya saya sakit (akibat disihir). Tergamak! Kenapa mesti marah sangat dengan saya? Memang mulut saya jahat. Saya akui. Tapi tidak perlulah sihir sebab terlalu sakit (kesannya),” kata Azwan.
Tambah Azwan, sehingga pagi semalam, dia masih lagi mengalami serangan sihir tersebut sehingga sakit satu badan.
“Malam semalam, sekitar pukul 2 pagi, demi Allah saya masih diserang dengan sihir. Mungkin dia tidak mahu saya muncul di acara hari ini (semalam). Tapi kebesaran Allah SWT telah mengizinkan saya untuk datang,” katanya.
Azwan ketika ditemui di majlis pelancaran single baharu penyanyi, Alyssa Dezek di Bukit Bintang, memaklumkan ada meminta bantuan seorang ustaz untuk membuang sihir tersebut dan bersyukur mendapat sokongan moral daripada para pengikutnya.
“Ada seorang ustaz yang ubatkan saya dan dia tidak sebut nama sesiapa. Kepada pengikut, saya rasa sebak sebab masih lagi hidup.
“Sebenarnya sudah setahun saya berubat dan alhamdulillah saya okey sahaja. Namun sejak minggu lalu, saya diserang semula.
“Saya rasa pelik sebab tidak dapat berjalan dan badan saya seperti dibakar (panas). Ada orang cakap sikit-sikit nak kaitkan dengan sihir, mereka belum kena.
“Kalau ikutkan saya hampir tidak dapat hadir hari ini (semalam). Tapi saya bangun pagi tadi, makan ubat dan saya kuatkan diri. Ditambah pula dengan doa-doa daripada pengikut saya. Terima kasih kepada mereka yang sentiasa mendoakan saya,” katanya.
Tahun lalu, bekas pengacara Anugerah Juara Lagu itu mendakwa dirinya disihir oleh seseorang sehingga timbul kesan tompokan pada kaki kanannya. – HIBGLAM