PELAKON Anzalna Nasir mengingatkan lelaki yang sudah bergelar suami supaya menghargai isteri dengan menjaga perasaan, bukan ‘menghadiahkan’ madu.
Katanya, wanita tidak mengharapkan apa-apa balasan dalam perkahwinan, sebaliknya sanggup berkorban demi insan tercinta.
Kalau sayang isteri cukuplah menjaga hati dan perasaan, bukan dengan mengahwini perempuan lain.
“Perempuan kalau dah sayang, sanggup buat apa sahaja untuk yang tercinta.
“Balaslah yang sama, hargailah isteri, kerana banyak pengorbanan yang kami dah lakukan. Awas Hanif Zaki,” katanya dalam perkongsian di Instagram.
Hantaran tersebut dibuat gara-gara tular isu poligami membabitkan pempengaruh media sosial dikenali sebagai Abang Tesla yang memuat naik video solat bersama isteri tiga jam sebelum menikahi wanita lain.
Menyentuh perkara tersebut, ibu kepada dua cahaya mata itu turut meluahkan pandangan mengenai emosi wanita yang dimadukan.
“Hidup ini tak perlu mengharapkan lelaki! Berpoligami? Kadang perempuan nampak macam reda tapi dalam hati hanya dia sahaja yang tahu,” katanya.
Pada masa sama, Anzalna, 35, sempat memberi peringatan kepada suaminya supaya jangan sesekali memasang niat untuk beristeri dua.
“Tiba-tiba buka album kahwin sebab nak ingatkan Hanif Zaki berapa dia belanja untuk berkahwin dengan saya dan betapa cantiknya waktu kahwin sampai viral!
“Tak payah sibuk nak beristeri dua. Saya pun awak tak boleh nak ‘handle’. Emosilah tengok benda viral suami tak hargai isteri,” luahnya.
Terdahulu, Abang Tesla atau nama sebenarnya Muhammad Khal Iltizam Yusry berdepan kritikan netizen apabila konten yang dimuat naik dilabel sebagai murahan demi meraih perhatian tanpa memikirkan perasaan isteri pertama.
Isu ini tular sejak beberapa hari lalu kerana individu sama pernah menaikkan hantaran di laman sosial mengenai kesetiaannya sebagai suami.
Terdahulu Anzalna atau nama penuhnya Nur Anzalna Md. Nasir berkahwin Hanif yang juga ahli perniagaan pada 2016 dan dikurniakan dua putera. – HIBGLAM