3 dekad, Slam kekal unggul

BETAPA setia dan kasihnya peminat terhadap Zamani dapat disaksikan menerusi Konsert Slam Nurkasih yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 6 Ogos lalu.

Meski kualiti suaranya tidak seunggul dahulu, peminat sedikitpun tidak berpaling sebaliknya terus menyokong band terkenal itu dengan menikmati setiap alunan vokal dan melodi yang bergema dalam konsert berdurasi dua jam.

Begitulah hebatnya penangan Slam yang sudah tiga dekad mewarnai gelanggang muzik tanah air.

Bersaksikan sekitar 2,000 penonton, Zamani yang menggayakan celana hitam, baju-T dan jaket kulit bewarna merah membuka tirai persembahan dengan lagu hits slam, Kembali Merindu dan Biarkannya.

MENERUSI konsert kali ini, dapat lihat betapa sayangnya peminat terhadap Zamani dan Slam.

Sorakan gemuruh peminat menjadi penanda betapa terujanya mereka menyaksikan Zamani, Shah (gitaris), Eddie (keyboard), Lili (bas) dan Man (dram) beraksi dalam persembahan yang dibawakan AV Group & WMD Event itu.

Slam kemudian mengembalikan nostalgia peminat setia mereka menerusi lagu Buat Seorang Kekasih, Suratan, Kurnia, Rindiani dan Sinar Menunggu.

Untuk lagu Maria Mariana, Zamani mengundang dua penonton wanita untuk berduet bersamanya. Riuh Zepp Kuala Lumpur dengan tawa peminat yang terhibur melihat aksi dua peminat bertuah itu dapat mendekati penyanyi kesayangan mereka.

DUA peminat setia Slam berpeluang menyanyikan lagu Maria Mariana bersama Zamani.

 

Memori, terus larut

Larut dalam memori yang dibentuk Slam, rata-rata peminat gembira melihat perubahan Zamani yang tampak semakin sihat dan lincah di atas pentas selepas menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis pada 7 November tahun lalu.

Sesekali Zamani melompat mengikut tempo muzik dan pastinya aksi comel itu mengundang rasa lega di hati peminat.

Enggan mengganggu mood penonton, Slam memilih meneruskan persembahan meski dalam jadual asal mereka sepatutnya berhenti berehat dan keputusan itu disambut riang penonton.

SLAM mengembalikan nostalgia peminta menerusi katalog hits mereka.

Zamani kemudian menghangatkan lagi pentas dengan rangkaian lagu Manisnya Rindu, Jika Kau Rasa Getarnya, Tak Mungkin Berpaling, Biarkan Ia Pergi, Kita Terpaksa Bermusuhan, Nur Kasih dan Gerimis Mengundang.

Sengaja mengusik penonton dalam segmen ‘encore’, Zamani yang tiba-tiba keluar dari pentas dikatakan sakit apabila tidak muncul selepas beberapa kali namanya di panggil Lily.

Riak wajah cemas segelintir penonton kembali mengendur apabila penyanyi itu muncul menyanyikan lagu Mentari Muncul Lagi dan Kembali Terjalin sebagai penutup tirai persembahan.

SLAM sekali lagi melakar memori indah buat pengikut setia mereka menerusi Konsert Slam Nurkasih.

Seperti yang dijanjikan Shah atau nama sebenarnya Shah Nizam Abdul Halim sebelum ini, Konsert Slam Nurkasih ada nilai tambah menerusi susunan muzik, pencahayaan dan kehadiran pemuzik undangan. Syabas Slam!

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok