SoundCircus Festival 2023 lebih gah

BAGI meraikan penubuhan Art Of Speed Malaysia (AOSM) yang ke-12, SoundCircus Festival 2023 bakal menemui peminat pada hujung Julai dengan lokasi lebih ‘gah’.

Khusus buat penggiat muzik underground yang tidak berpeluang menunjukkan bakat mereka di pentas sama sebelum ini, acara tahunan berkenaan akan diadakan pada 29 Julai ini di Maeps, Serdang.

Melihat kepada sambutan yang luar biasa semasa Sound Circus Weekender awal Mac lalu, pihak AOSM menghimpunkan pengkarya bergenre rock punk untuk penganjuran kali ini bagi memastikan peminat dapat berhibur bersama penggiat muzik kegemaran mereka.

Sambutan, Indonesia

Selaku Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas AOSM dan SoundCircus, Asep Ahmad Iskandar mengambil inisiatif untuk mengadakan festival muzik tahunan berkenaan di lokasi berskala besar selaras dengan permintaan peminat.

“Disebabkan sambutan luar jangkaan sewaktu Sound Circus Weekender sebelum ini dengan kehadiran 2,000 penonton, AOSM berhasrat untuk melanjutkan pada bulan Julai di lokasi lebih besar,” katanya.

Kelainan dalam festival muzik kali ini, Asep mengetengahkan lima buah kumpulan untuk beraksi memenangi hadiah lumayan.

Selain pertandingan, pihak AOSM membawakan kumpulan dari Indonesia iaitu Superman Is Dead atau lebih dikenali sebagai SID untuk bertemu peminat Malaysia.

“Kami akan mengetengahkan lima band tempatan yang akan bertarung dalam sebuah segmen khas Harley-Davidson ‘Battle Of The Bands’ yang menawarkan hadiah berupa pakej ke luar negara.

“Pemenang berpeluang untuk melakukan persembahan di festival yang bakal dianjurkan oleh Harley Davidson pada hujung tahun ini.

“Selain sistem visual audio yang sudah dinaik taraf, kami juga membawakan kemunculan khas kumpulan Superman Is Dead dari Bali yang akan mempersembahkan 16 lagu kesemuanya,” katanya lagi.

Rock punk

SoundCircus Festival 2023 kali ini memberi tumpuan kepada genre rock punk dan ska yang pertama di Malaysia dengan kualiti produksi setaraf antarabangsa.

Melalui penajaan daripada syarikat yang berpangkalan di luar negara, Pengarah Urusan Pasaran Pembangunan Asia & India, Harley-Davidson Motor Company iaitu Sajeev Rajasekharan memaklumkan, harga tiket dapat dikurangkan tanpa menjejaskan kualiti festival.

“Kami amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian dari SoundCircus Festival 2023 sebagai penaja utama dan mengukuhkan lagi kehadiran kami di Art Of Speed Malaysia.

“Festival muzik ini mempunyai kepentingan strategik buat kami dan bertindak sebagai platform utama untuk komuniti serta penggemar Harley-Davidson dapat kumpul bersama.

“Jadi kami mengharapkan sebuah acara yang gemilang pada tahun ini bersama AOSM,” ujarnya.

Bagi peminat muzik yang ingin menyaksikan persembahan SoundCircus Festival 2023 ini, mereka boleh membeli tiket berharga serendah RM120 menerusi laman web www.artofspeedmy.com.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok