Bakal muncul bersama sebagai penyampai trofi pada acara Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABPBH35) di Istana Budaya malam ini menjadi bukti perang dingin penyanyi Sissy Imann dan Mas Idayu sudah berakhir.
Sissy atau nama sebenarnya Sissy Imann Mohammad Kamil, 28, menjelaskan dia dan Mas Idayu yang mesra disapa Mummy sudah lama berdamai apabila program realaiti, Family Duo melabuhkan tirai.
Ikutkan ABP35 adalah kemunculan bersama pertama kami selepas pertandingan Family Duo berakhir. Jadi, kita tengok bagaimana maklum balas dan komen peminat.
“Hubungan kami sebenarnya baik-baik sahaja. Tiada isu sebab saya sudah jumpa Mummy selepas Family Duo tamat. Apa yang berlalu biarlah berlalu,” katanya kepada HibGlam.
Diusik soal cinta, Sissy yang tidak pernah digosipkan dengan mana-mana artis atau mempunyai teman istimewa mendedahkan dia kini sudah punya kekasih hati.
Kata Sissy, jejaka pilihannya itu bagaimanapun bukan selebriti sebaliknya teman sebaya yang sudah lama dikenali.
“Cukuplah saya katakan kami sebaya dan dia pula bukan orang seni tetapi memahami dunia saya.
Keluarga pun tahu hubungan kami dan bagi lampu hijau. Setakat ini sahaja boleh saya kongsi. Nak cakap lebih tak manis pula sebab semuanya masih di peringkat awal.
“Untuk ke fasa serius kami belum sampai ke tahap itu,” ulasnya yang rancak melakukan persiapan mengemudikan program travelog 13 episod. – HibGlam.