PENYANYI dan juga pencipta lagu Hafiz Hamidun tidak dapat menahan sebak sehingga hampir menitiskan air mata saat membuat permohonan maaf kepada Ajai berhubung satu insiden yang mengundang kemarahan komposer terkenal itu lapan tahun lalu.
Berkongsi rasa yang terbungkam di jiwa, Hafiz mengakui keengganannya menerima dan menyanyikan beberapa karya pemberian Ajai ternyata menimbulkan ketegangan antara mereka.
“Tidak ramai tahu cerita ini. Saya mahu memohon maaf kepada Ajai kerana pernah buat dia marah.
Beberapa tahun lalu, Ajai ada beri beberapa lagu kepada saya, tetapi saya tolak kerana ego,” kata Hafiz.
Ujar penyanyi berusia 38 tahun itu lagi, dia menolak karya yang diberikan Ajai kerana berasakan lagu tersebut tidak kena dengan jiwanya.
“Saya tolak lagu Ajai sebab tak kena dengan jiwa saya. Itu sahaja. Ajai beri beberapa lagu, tetapi saya diam dan tidak buat apa-apa keputusan.
“Tidak sangka Ajai menunggu jawapan saya sebenarnya sebelum akhirnya saya menolak lagu tersebut.
“Kejadian itu membuatkan Ajai benar-benar marah kepada saya,” katanya.
Ujar Hafiz lagi, sebagai seorang komposer, dia mempunyai ego dan kemahuan sendiri sehingga tidak sedar ada hati yang bakal terluka.
Bagaimanapun, pelantun Jodoh Berdua itu rasa terpukul apabila Ajai tidak pernah menyimpan dendam terhadapnya.
Buktinya, sewaktu Hafiz menyertai sebuah program realiti tahun lalu, Ajai merupakan salah seorang juri dalam acara tersebut.
Saya ingatkan mungkin akan tersingkir awal sebab jurinya adalah Ajai. Kalau saya tersingkir, fahamlah kenapa. Tetapi tidak.
“Setiap minggu Ajai puji saya, malah kata saya komposer yang hebat. Daripada situ saya belajar perlu ada sikap rendah diri. Perkara yang terjadi itu memberi pengajaran kepada saya sehingga sekarang,” katanya dalam majlis sidang media pelancaran single terbaharu, Kembali Pada-Mu di ibu kota semalam.
Bukan tidak pernah meminta maaf atas kesilapan yang dilakukan, Hafiz bagaimanapun berasa belum puas dan berharap keegoan silam sekitar 2015 lalu itu memberikan satu pengajaran buat dirinya.
Saya tahu Ajai terasa dengan saya. Walaupun saya telah meminta maaf kepadanya sebelum ini, saya masih belum puas.
“Sekali lagi saya minta maaf. Pengajaran yang saya dapat, walaupun kita buat lagu untuk orang lain, tidak semestinya kita bagus,” luahnya.
Selain berstatus penyanyi lagu ketuhanan, Hafiz juga terkenal sebagai komposer lagu kerohanian yang terkenal. Antara karya yang ditulis Hafiz seperti Mikraj Cinta nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Cinta terakhir (Aiman Sidek). – HIBGLAM