BOSAN nama sering dikaitkan dengan isu orang ketiga atau penyondol, pelakon Sophia Albarakbah tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang melemparkan fitnah terhadapnya.
Kata Sophia, 30, sebagai insan biasa, tahap kesabarannya juga ada had.
“Dalam setiap apa yang kita buat mungkin ada tak suka dan sengaja petik nama kerana tahu saya tak boleh lari tapi siapa kenal, dia tahu saya macam mana.
“Kalau makin melampau saya mungkin akan ambil tindakan undang-undang.
“Setakat ini saya masih boleh sabar tapi semua orang ada tahap kesabaran,” katanya ketika ditemui HibGlam pada Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35), baru-baru ini.
Pada acara tersebut, Sophia meraih trofi Aktres Filem Popular menewaskan Maya Karin, Diana Danielle, Janna Nick dan Ahirine Ahirudin.
Menurutnya, kemenangan diperoleh membuktikan ramai menyayangi dirinya yang turut menunjukkan pembabitan dalam industri serba mencabar ini sebagai pilihan tepat.
Saya tidak tahu mengapa orang masih cop saya teruk sedangkan kenyataan sebelum ini pun saya buat disebabkan mulut segelintir netizen yang memetik nama saya.
Tidak patut fitnah diri saya sebegitu kerana saya hanya mahu pertahankan diri, namun kalau orang ramai masih nak mengata itu antara dia dengan Tuhan.
“Saya percaya, kalau ada seribu orang benci saya mesti ada seribu orang lain yang sayang saya, lagipun isu suami artis dikacau itu dimaksudkan orang lain, bukan saya,” tambahnya.
Terdahulu, bintang berdarah campuran Melayu, Cina, Arab itu didakwa netizen sebagai aktres yang cuba mengganggu rumahtangga Fazura dan Fattah Amin gara-gara pernah berlakon dengan aktor tersebut dalam filem Mimaland tiga tahun lalu. – HIBGLAM