Fasha nafi menunjuk, hanya pakai baju lama

“Saya bukannya menunjuk, cuma orang nampak kelainan itu sebab saya boleh pakai semula baju lama sebelum zaman berkahwin.”

Demikian respons Fasha Sandha apabila penampilan semakin langsing dan cantik mengundang kecaman segelintir netizen yang mendakwa pelakon popular itu terlalu menunjuk-nunjuk bentuk badannya mutakhir ini.

Menurut Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan, 39, dia hanya memakai semula baju lamanya yang kini muat disarung semula selepas berjaya menurunkan berat badan sebanyak 18 kilogram.

Bila lihat saya pakai baju ketat dan seksi, orang ingat saya sudah berubah sebab kurus, walhal saya hanya memakai semula baju-baju lama,” tutur Fasha.

SELAIN mengambil produk pelansingan badan, Fasha mengamalkan diet untuk menurunkan berat badannya sebanyak 18 kilogram.

 

Tambah pelakon Anak Halal itu juga, dia juga bukan sengaja ‘belanja’ peminat dengan memuat naik gambar memakai gaun seksi dalam media sosial sebaliknya itu hanyalah karakternya sebagai Datin Safieya dalam drama Rampas Cintaku 2.

Sebagai pelakon, dia bersikap profesional dan hanya memenuhi tuntutan kerja membawakan watak Datin Safieya.

Watak Datin Safieya memang ‘daring’, malah ketika saya masih bulat watak lakonan ada yang begitu juga cuma mungkin orang tidak nampak dan tidak beri impak sebab ketika itu saya berisi dan tidak ‘hot’.

“Sekarang apabila saya bawa watak yang sama pakai gaun seksi orang nampak. Kalau saya tidak kurus pun, karakter itu memang perlu gatal,” tutur Fasha tertawa ketika ditemui pada majlis pelancaran pembungkusan baharu produk kelangsingan badan Inayah Beauty iaitu Berryfull, tempoh hari.

Bertindak sebagai duta produk berkenaan, ibu kepada tiga cahayamata itu turut mengakui bukan mudah untuknya mendapatkan berat badan yang ideal.

Saya pernah rasa murung apabila diminta untuk kurus bawah 60 kilo gram (kg) oleh penerbit drama Rampas Cintaku kerana kelihatan besar dalam skrin.

“Kenangan yang tidak boleh dilupakan adalah saya pernah menangis hanya kerana mahu makan biskut kering dicicah air Milo.

“Saya takut hendak makan kerana berat badan waktu itu belum turun dan hidangan itu berkalori tinggi” katanya.

Fasha mengambil masa setahun untuk menurunkan 18kg. Selain mengamalkan pengambilan produk Berryfull, dia juga mengamalkan diet ketat iaitu hanya makan dua sudu nasi bersama ikan selama lima hari seminggu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Inayah Beauty, Dini Qistina Latif berkata, kehadiran Fasha sebagai duta membawa tuah apabila produk berkenaan berjaya terjual sebanyak 400,000 botol.

FASHA bersama Ketua Pegawai Eksekutif Inayah Beauty, Dini Qistina Latif.

Bahkan kutipan kasar juga mencecah hampir RM20 juta dalam tempoh kurang setahun aktres popular itu dilantik menjadi duta produk tersebut.

“Bukan mudah untuk mengambil Fasha sebagai duta, tetapi selepas dia mencuba sendiri produk kami dan melihat perubahan ketara, dia terus bersetuju untuk menjadi duta pada Disember 2022,” kata Dini yang sangat puas hati dengan komitmen Fasha.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok