Pelawak Achey terpaksa dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Batu Pahat, Johor sejak kelmarin selepas mengalami masalah sakit pada bahagian belakang badan.
Kesakitan yang dialami pelawak Achey atau nama lengkapnya Mohd Nasir Hamzah, 36, itu adalah disebabkan terdapat ketumbuhan (benjolan) pada belakang badannya yang masih belum dapat dipastikan.
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh rakan kumpulannya, Fad Bocey apabila memaklumkan Achey tidak dapat hadir ke sidang media Konsert Muzika Lawak Nusantara yang diadakan semalam.
“Achey sekarang berada di hospital di Batu Pahat, Johor kerana mengalami masalah sakit pada belakang badannya. Doktor pun sudah lakukan ujian pengimejan resonan magnetic (MRI) dan sedang menunggu keputusan.
“Apa yang pasti, terdapat benjolan pada bahagian belakang badannya sehingga menyebabkan rasa sakit,” ujarnya.
Ujar Fad lagi, dia sendiri menyarankan kepada Achey untuk membuat pemeriksaan di hospital kerana sebelum ini, dia juga mempunyai pengalaman sama apabila pernah mengalami masalah ‘slip disc’.
“Kebetulan Achey berada di kampungnya di Batu Pahat. Jadi saya suruh dia ke hospital untuk buat pemeriksaan.
“Sebelum ini saya pun ada masalah sakit tulang belakang (slip disc). Jadi biar doktor lakukan dahulu pemeriksaan untuk mengetahui punca benjolan itu sama ada perlu dibedah atau tidak,” katanya. – HIBGLAM