‘Terasa? Gurauan atas pentas sudah dirancang, ada skrip’

SERING dikritik, pelawak dan pengacara Nabil Ahmad mengakui tidak terkesan dengan ketidakpuasan hati segelintir pihak terhadap gaya pengacaraannya.

Bagi Nabil, 43, matlamat utamanya di atas pentas adalah untuk menarik perhatian ramai serta memberi impak kepada sesebuah persembahan.

“Dalam erti kata yang agak pelik sedikit, saya okey saja sebab sebagai pengacara, saya memang nak perhatian itu.

Daripada dulu saya cuba buat, apabila di atas pentas anda perlu berikan sesuatu yang boleh jadi impak, tarikan dan bualan ramai.

“Baru anda ada ‘something’ (sesuatu) untuk beri kepada penonton tidak kira baik atau buruk, orang akan nampak dan terus bercakap,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran lagu KITA sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, hari ini.

Dalam masa sama, pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie itu mendedahkan sebahagian besar usikan dan babak spontan yang dilihat penonton sebenarnya disusun lebih awal.

“Tak nafikan ada yang spontan, tapi kebanyakannya memang kami ada skrip dan rancang semuanya. Macam saya dengan Elly Mazlein, Sherry, Jihan serta Tok Ram kami memang rancang semua tu.

Saya akan tanya Tok (panggilan Ramli), ‘macam ni okey tak Tok?’ Sherry macam ni okay tak? Sebenarnya ini rahsia atas pentas.

“Saya tidak mahulah beritahu semua rancangan kami, biar jadi magik dan penonton ingatkan spontan,” ujarnya.

Dia turut meluahkan rasa syukur apabila rakan-rakan pengacara memahami konsep hiburan yang cuba disampaikan.

“Alhamdulillah rakan hos saya memang tak ada perasaan (ketawa) sebab itu saya cakap, saya tak ada masalah orang terasa kerana semuanya sudah dirancang.

“Saya dah tahu apa mereka (rakan hos) nak cakap fasal saya, mereka pun tahu apa saya nak bergurau.

Saya terbuka kalau ada perkara lucu tentang saya yang nak diperkatakan, buat saja. Sebarang idea yang kelakar kami lakukan saja, Alhamdulillah saya dapat rakan kerja yang boleh bekerjasama dengan baik,” katanya.

Sebelum ini, Nabil sering dikritik tidak sensitif dan nampak kurang terpelajar ketika ketika mengendalikan program hiburan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok