Perjuangan nasyid asli Zawfan, Nazrey Johani

KETIKA industri muzik mendepani perkembangan pesat menyaksikan banyak perubahan dengan suntikan baharu dalam hampir kesemua genre, kumpulan nasyid Zawfan sebaliknya tetap berpegang pada akar umbi perjuangan sejak mula.

Lari daripada kemodenan, muzik dan karya mereka menggamit kerinduan terhadap karya dakwah dihasilkan menggunakan 100 peratus instrumen pergendangan, kompang atau alat perkusi gendangan.

Terus dengan misi melahirkan genre nasyid asli yang hanya berpaksikan gendang dan kompang, Zawfan kembali dengan buah tangan kedua berjudul Bismillahir Rahmanir Rahim, istimewa bergandingan dengan penyanyi Nazrey Johani.

Yakin genre sebegitu sentiasa dirindukan masyarakat, kumpulan yang dianggotai tiga ahli itu percaya bahawa muzik nasyid klasik yang pernah dipopularkan beberapa kumpulan ternama seperti Raihan, Nadamurni dan TheZikr sekitar era 1980-an dan 1990-an masih melekat dalam hati masyarakat.

ZAWFAN berharap irama nasyid terus mendapat tempat di hati pendengar yang benar-benar dahagakan hiburan mendidik jiwa.

“Nasyid zaman dahulu tidak sarat, hanya berbekalkan lirik yang jelas dan melodi ringkas, nyanyian sederhana dengan vokal berharmoni serta iringan kompang dan gendang mampu membawa mesej keagamaan, ketuhanan, kemanusiaaan serta kerohanian,” ujar seorang ahlinya, Hafiz Tarmizi.

Melanjutkan bicara tentang lagu yang mendapat sentuhan daripada Sirr Muhammad dan Hafiz Tarmizi dengan susunan muzik oleh Zufar Adzahan dan Fadzli Radzi, misi Zawfan ialah mengembalikan nostalgia pendengar dengan karya nasyid era 1990-an.

“Dari sudut pandang muzik, lagu ini mengambil pelbagai unsur dan pengaruh antaranya Nusantara, Timur Tengah, Eropah, Asia dan Amerika Latin.

Melengkapi

“Kesemua elemen ini bukan sesuatu yang asing dalam genre nasyid kerana ciri-ciri muzik Islam sejagat sifatnya seharusnya mengambil dan memanfaatkan seluruh tradisi kemanusiaan baik dari Timur mahupun Barat,” ujar Fadzli.

Selain muzik dan irama, gandingan istimewa Zawfan bersama Nazrey serta Yasir Tamizi dianggap sebagai kolaboratif vokal padu serta saling melengkapi.

SELEPAS tidak lagi bersama Raihan, Nazrey melihat peluang menjalin kerjasama dengan Zawfan sebagai usaha mengembalikan kegemilangan irama nasyid asli.

Nazrey sendiri sangat berbesar hati apabila dilamar menjalin kerjasama dengan Zawfan dan pelawaan yang diterima tidak boleh ditolak.

“Inilah irama nasyid yang dirindui. Bunyi nasyid asal suatu ketika dahulu pernah mengangkat hasil karya tempatan ke mata dunia serta mendapat pengiktirafan paling tinggi dalam industri muzik.

“Itulah nasyid pada takrifan paling asas, persembahan paling murni dan tulen. Kerinduan pada irama nasyid terubat menerusi kerjasama ini,” jelas Nazrey.

Bismillahir Rahmanir Rahim terbitan Zawfan dengan edaran secara digital Soofi Media kini boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman seperti Spotify dan Apple Music.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok