Saya menangis dapat peluang berlakon – Lisa Manobal

MENJADI satu-satunya bintang K-pop paling ramai pengikut dalam akaun Instagram iaitu sebanyak 104 juta followers sudah cukup membuktikan betapa berkuasanya Lisa Manobal yang merupakan salah seorang anggota kumpulan Blackpink.

Sejak membuat kemunculan bersama Blackpink pada tahun 2016, Lisa atau nama sebenarnya Pranpriya Manobal, 27, berjaya mencuri tumpuan ramai kerana keunikan serta pesona yang ada pada dirinya.

Dia bukanlah penyanyi yang berasal dari Korea Selatan, tetapi merupakan gadis kelahiran Thailand yang berusaha menembusi industri K-pop menerusi satu program pencarian bakat yang dibuat oleh YG Entertainment sewaktu dia berusia 13 tahun.

“Saya suka menyanyi dan menari sejak dari kecil. Mak cik saya akan daftarkan saya dalam pertandingan menyanyi dan menari di sekitar Bangkok.

“Pada tahun 2010, YG Entertainment melakukan pencarian bakat. Sebagai peminat K-pop semestinya saya sangat teruja.

Selepas saya pergi uji bakat, lama juga saya tunggu panggilan. Saya ingatkan saya gagal. Tetapi selepas dua bulan mereka hubungi dan beritahu saya berjaya.

“Bayangkan pada usia 14 tahun saya terpaksa berjauhan dengan ibu dan tinggal di Korea seorang diri. Saya tak tahu berbahasa Korea. Yang saya tahu cuma satu perkataan iaitu annyeonghaseyo (hello). Tetapi mujur ada Jennie. Dia adalah satu-satu pelatih yang tahu berbahasa Inggeris ketika itu,” katanya.

 

LISA kini merupakan antara bintang K-pop yang paling dikenali dan berpengaruh di dunia.

Lisa menjadi semakin selesa selepas seorang lagi ahli Blackpink iaitu Rosé diserap sebagai pelatih.

“Kami sebaya dan punya cita rasa yang sama. Kami berdua sama-sama datang dari negara lain. (Rosé berasal dari Australia) Jadi disebabkan itu kami agak rapat,” ujarnya.

Karier solo cipta rekod

Setiap seorang daripada ahli Blackpink punya lagu solo sendiri. Bermula dengan Jennie, Rosé dan kemudian Lisa. Debut Lisa menerusi single solo pertamanya iaitu Lalisa bukan sahaja mencetuskan fenomena malah telah mencipta rekod tersendiri.

Album single Lalisa telah meraih Guinness World Record sebagai album solo artis K-pop pertama berjaya mencapai 1 bilion strim dalam Spotify. Lisa juga menjadi artis solo pertama yang berjaya menjual album fizikal tertinggi dalam tempoh seminggu iaitu sebanyak 736,000 di Korea Selatan sebelum rekodnya dipintas oleh Jisoo.

Video muzik (MV) Lalisa juga memecah rekod YouTube menjadi MV artis solo yang paling banyak ditonton dalam masa 24 jam sekali gus memintas rekod yang pernah dicipta Taylor Swift.

Menerusi lagu Lalisa juga Lisa berjaya menjadi artis solo K-pop pertama yang memenangi anugerah MTV Video Music Awards edisi Amerika Syarikat dan Eropah.

Terbaharu, Lisa melancarkan single solo berjudul Rockstar dan New Woman (kolaborasi bersama Rosalia) di bawah syarikatnya sendiri Lloud Co.

Menurut Lisa, dia puas kerana dapat berkarya dengan bebas.

Apa yang saya belajar dari pengalaman lalu adalah tentang diri sendiri. Apa yang saya mahukan dan apa yang saya fikirkan. Apa yang saya suka dan apa yang saya tak suka.

“Sangat penting untuk anda tentukan apa yang anda mahukan terutamanya dalam perkara yang melibatkan kreativiti,” kongsinya.

Ujar Lisa, kejayaan yang dikecapinya sekarang adalah usaha berterusan dari hari demi hari.

Selepas Jennie dan Ji Soo mempamerkan bakat mereka dalam bidang lakonan, kini tiba giliran Lisa pula apabila dia dipilih menjadi salah seorang pelakon drama bersiri popular terbitan HBO, The White Lotus musim ketiga.

Akui Lisa, dia menangis sewaktu diberitahu terpilih untuk membintangi siri tersebut.

Saya menangis! Ketika itu saya berada bersama teman-teman, ibu dan teman-teman ibu saya. Saya tidak memberitahu mereka saya telah pergi uji bakat untuk membintangi siri tersebut.

“Saya sangat teruja dan gementar dalam masa yang sama memandangkan ini adalah projek lakonan saya yang pertama.

Apa yang lebih istimewa apabila drama ini menjalani penggambaran di sekitar Thailand. Jadi saya dapat lepaskan rindu pada tanah air tercinta dalam masa yang sama dapat menjamah makanan tradisi Thailand setiap hari selain berada dekat dengan ibu,” katanya.

Lisa kini muncul dengan single terbaharu berjudul New Woman yang menyaksikannya berkolaborasi dengan Rosalia.

Pengaruh dan kejelitaan wajahnya turut menambat hati jenama-jenama gergasi antarabangsa untuk menjadikannya sebagai wajah wakilan mereka termasuklah Celine, MAC, Bvlgari dan yang terbaru Louis Vuitton.

Gara-gara video muzik Lalisa, jualan pakaian tradisional Thailand melonjak sehingga Lisa mendapat pujian daripada Perdana Menteri Thailand ketika itu iaitu Prayut Chan-O-Cha kerana berjaya mempromosikan budaya Thailand.

Pada 2023, Lisa telah diberi penghormatan oleh Kementerian Kebudayaan Thailand dengan Anugerah Wattanakunathorn di atas impak dan peranannya dalam mempromosikan budaya Thailand ke mata dunia sekali gus meningkat nilai ekonomi negara itu.

Lisa menjadi artis pertama dari Thailand yang dipilih untuk menjadi penghias muka depan majalah fesyen terkenal, Elle edisi Amerika Syarikat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok