PENDIDIKAN merupakan antara perkara penting dalam kehidupan.
Selain sekolah kerajaan yang disediakan pemerintah, instutusi pendidikan swasta turut ditubuhkan bagi memenuhi keperluan pendidikan semasa.
Di Indonesia, banyak institusi pendidikan swasta didirikan atas kesedaran kepentingan ilmu pengetahuan.
Beberapa penggiat seni terkenal negara itu tidak ketinggalan menyumbang bakti dengan membina sekolah atau institusi pendidikan sebagai bentuk kepedulian terhadap masa depan anak-anak Indonesia.
Celine Evangelista

MENURUT maklumat daripada berita Indonesia, Yayasan Bunga Kasih di Sidoarja, Jawa Timur didirikan oleh pelakon Celine Evangelista.
Celine yang terkenal menerusi lakonannya dalam beberapa filem seram Indonesia seperti Hantu Bangku Kosong, Sosok Ketiga dan Ruqyah: The Exorcism menubuhkan yayasan pendidikan tersebut pada 10 Mei 2016.
Difahamkan, penubuhan yayasan tersebut khas buat pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah rendah.
Yuni Shara

PENYANYI dan pelakon Yuni Shara membina sebuah institusi pendidikan awal usia pada 2019.
Prasekolah yang diasaskan Yuni dinamakan PAUD Permata Abadi dan terletak di Batu, Jawa Timur.
Sekolah yang menampung 100 pelajar itu mengenakan yuran yang sangat rendah di mana setiap pelajar hanya perlu membayar sekitar RM1 sebulan.
Selain menyediakan kemudahan pendidikan, pelajar turut disediakan makanan dua kali sehari.
Mereka juga didedahkan dengan pelbagai aktiviti luar kurikulum seperti pasukan pancaragam dram.
Dian Sastrowardoyo

AKTRES Dian Sastrowardoyo dikenali sebagai artis yang sangat dekat dengan dunia akademik.
Rutin harian Dian sering diisi dengan aktiviti mengajar di beberapa universiti.
Selain itu, dia turut menubuhkan Yayasan Dian Sastrowardoyo yang bertujuan menyokong anak muda, khususnya golongan wanita yang mahu melanjutkan pelajaran tetapi berdepan masalah kewangan.
Malah, pelakon filem Gadis Kretek itu membantu sekurang-kurangnya lebih 30 anak muda menerusi tajaan biasiswa sehingga mereka berjaya mendapat pekerjaan.
Sarwendah

PENYANYI Sarwendah membina sebuah sekolah percuma yang dinamakan Taman Pendidikan Bunda Sarwendah.
Institusi pendidikan yang ditubuhkan pada 22 Oktober 2019 tersebut terletak di Sukabumi, Jawa Barat.
Sekolah berkenaan menyediakan kelas pembelajaran untuk pelajar prasekolah, bimbingan belajar (tuisyen) dan taman bacaan yang boleh digunakan anak-anak di Desa Cicareuh sebagai tempat menimba ilmu.
Cinta Laura

PELAKON Cinta Laura merupakan antara selebriti yang menitikberatkan pendidikan.
Pemegang ijazah sarjana dalam bidang Sastera Jerman dan Psikologi dari Universiti Columbia, New York itu menubuhkan yayasan pendidikan iaitu Yayasan Soekarseno yang beroperasi di sebuah perkampungan kecil di Kabupaten Bogor, Jawa Barat,
Wanita berusia 32 tahun itu menyumbang sebahagian daripada pendapatannya untuk menyokong aktiviti pembelajaran di yayasan tersebut.
Pelakon drama Upik Abu dan Laura itu juga kerap meluangkan masa bermain dengan pelajar serta menjadi tenaga pengajar. – HIBGLAM
