BINTANG sensasi, Britney Spears sekali lagi mencuri tumpuan ramai di media sosial apabila tampil dengan imej baharu.
Menerusi perkongsian terkini pendandan rambut selebriti, Chris Appleton dalam Instagram, Britney dilihat tampil dengan gaya yang lebih segar dan yakin, sekali gus mengundang pelbagai reaksi positif daripada pengikutnya.
Dalam foto tersebut Britney kelihatan ceria tersenyum dengan rambut perangnya didandan lurus.
Chris turut meluahkan rasa teruja dan terharu kerana dapat mendandan rambut penyanyi idolanya.
“Semasa kecil dan membesar di England, Britney Spears merupakan runut bunyi kepada begitu banyak detik-detik indah. Tidak pernah terlintas di fikiran bahawa suatu hari nanti saya akan mendandan rambutnya.
“Dia bukan sahaja seorang ikon, tetapi juga salah seorang yang paling baik hati dan lemah lembut pernah saya temui,” tulis Chris di bahagian kapsyen.
Foto tersebut mendapat ribuan komen daripada netizen di seluruh dunia yang teruja melihat perubahan imej penyanyi kesayangan mereka.
“Oh tuhanku. Aku tidak mempercayai ini. Britney kelihatan sangat hebat dan berlainan. Ini adalah impian setiap peminatnya,” komen salah seorang peminat yang teruja.
Menariknya, foto tersebut turut mendapat perhatian ‘client’ selebriti Chris yang lain seperti Kim Kardashian dan Paris Hilton.
Difahamkan Kim yang mencadangkan nama Chris kepada Britney untuk mendandan rambutnya.
Baru-baru ini nama Britney kembali menjadi topik hangat selepas dia ditahan polis kerana didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol.
Dalam video rakaman kamera polis yang kini tular dalam media sosial, Britney dilihat sempat mengundang Dua pegawai polis ke rumahnya dan berjanji akan memasak lasagna untuk mereka. – HIBGLAM
