TIDAK.”
Demikian jawab pelakon dan pengacara jelita, Amelia Henderson apabila ditanya peminat kebarangkalian kembali ke pangkuan bekas kekasihnya, Aedy Ashraf.
Pemilik nama sebenar Amelia Thripura Henderson, 29, itu turut berkongsi pengajaran yang diperolehi menerusi perhubungan yang terjalin dengan pelakon filem War on Terror: KL Anarchy itu.
“Pengajaran yang saya belajar daripada perhubungan ini adalah macam mana kita sayang atau bantu seseorang dalam perjalanan kehidupannya, kadang-kadang kita harus melepaskan untuk dia berkembang dengan lebih sihat walaupun tidak lagi bersama,” katanya dalam sebuah siaran langsung.
Dalam masa sama, dia yang mesra membahasakan diri sebagai Ame mengakui akan lebih berhati-hati dalam perhubungan akan datang.
“Mungkin saya akan lebih berhati-hati pada masa akan datang.
“Saya ingat sudah cukup berhati-hati selama ini.
“Sudah tentu dalam kehidupan ada banyak cara untuk perbaiki,” jelasnya.
Sebelum ini, pelakon drama Jangan Benci Cintaku itu mendedahkan hubungan istimewanya dengan Aedy tidak lagi seperti sebelum ini.
Difahamkan, Aedy dan Amelia dikatakan mula rapat selepas sama-sama menjayakan drama Kisah Cinta Kita yang ditayangkan pada penghujung 2021.
Setahun kemudian, Aedy membuat kejutan melamar Amelia secara terbuka menjadi kekasihnya di sebuah acara di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun hubungan tersebut tidak bertahan lama apabila Aedy memuat naik hantaran patah hati dalam akaun media sosialnya.
Tidak berakhir di situ, pada April tahun lalu, kisah cinta mereka kembali bertaut dan Aedy berharap hubungan itu akan lebih serius berbanding sebelum. – HIBGLAM