Derita Elisya Sandha 

ADAPTASI daripada kisah benar tentang konflik rumah tangga, drama Mihrab Cinta Zulaikha bakal menjadi tarikan baharu platform penstriman, iQIYI. 

Membariskan pelakon popular tanah air seperti Elisya Sandha, Azrel Ismail, Johan As’ari, Raf Iskandar dan Scha Elinnea, naskhah itu tentu akan membuat penonton ‘terbakar’ lebih-lebih lagi menyaksikan kehidupan wanita teraniaya. 

Menurut Pengurus Besar iQIYI Malaysia & Singapura, Jony Deng, pihaknya sedang dalam proses memperkukuhkan kedudukan di pasaran tempatan dengan menampilkan karya berkualiti dan bermutu. 

Usaha tersebut sejajar dengan permintaan penonton masa kini selaras mengikut trend semasa. 

“Drama Mihrab Cinta Zulaikha merupakan inspirasi daripada kejadian dan konflik sebenar dalam masyarakat kita yang menonjolkan kisah percintaan dan juga kekuatan dari segi moral. 

“Selain itu, idea di sebalik penghasilan drama ini datangnya daripada keinginan untuk meneroka tema-tema yang melibatkan keimanan, percintaan dan pengorbanan yang sering terjadi dalam masyarakat,” katanya. 

Marissa Yasmin melakonkan watak ibu kepada Zulaikha lakonan Elisya Sandha.

Bukan sahaja mengetengahkan soal rumah tangga, drama tersebut juga menyuntik elemen kerohanian dan persoalan tentang masalah rumah tangga. 

“Setelah berkahwin, Zulaikha dapat tahu kehidupan Yusof sebenar jauh daripada pegangan agama. Lebih mengejutkan apabila Yusof sudah mempunyai kekasih. 

“Pelbagai pergolakan berlaku dan ujian menimpa kehidupan Zulaikha yang boleh dikaitkan dengan keadaan semasa dan dekat dengan penonton,” ujarnya. 

Drama Original iQIYI itu menyaksikan Elisya memegang watak sebagai Zulaikha iaitu seorang wanita yang berpegang teguh pada ajaran agama dan bertanggungjawab menguruskan rumah anak yatim. 

Namun disebabkan masalah kewangan, Yusof Hakimi (Azrel Ismail) melamarnya sekali gus membantu untuk menyelesaikan masalahnya. 

Mengharapkan agar drama tersebut dapat menarik lebih ramai penonton, Jony memberitahu, iQIYI sedang berusaha menjadi bidang penyiaran dalam talian dengan angka pengguna aktif bulanan sebanyak 500 juta dengan hampir 6 bilion jam hiburan.

“Bayangkan dunia di mana penceritaan tidak mengenal batas, di mana setiap bingkai adalah jendela budaya yang meriah dengan kisah yang belum terungkap. 

“Jadi, saya berharap drama Mihrab Cinta Zulaikha akan menarik perhatian dan memikat hati penonton melalui kisahnya yang mendalam,” tambahnya lagi. 

Mihrab Cinta Zulaikha kini ditayangkan menerusi laman penstriman, iQIYI.

Mihrab Cinta Zulaikha turut membariskan pelakon berpengalaman seperti Arash Mohamed, Marissa Yasmin dan Ieda Moin. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok