Jangan marah pendatang baharu besar kepala – Bell Ngasri

PELAKON popular Bell Ngasri meminta orang ramai jangan terus menghukum pendatang baharu sekiranya terpalit dengan dakwaan bersikap besar kepala.

Menurut Bell atau nama penuhnya Nasrizal Ngasri , 43, pelakon baharu perlu diberi ruang dan elakkan daripada dimarahi kerana hakikatnya mereka tidak sedar telah bersikap negatif sebagai anak seni.

Mereka pendatang baharu dan baru sahaja masuk dalam industri, kalau perangai tak betul pun mereka tak tahu.

“Jadi diva ke atau buat perkara salah dan ‘demand’ (letak bayaran tinggi) sebab mungkin mereka dilahirkan daripada keluarga berduit.

“Jadi, mereka pun bukan tahu sangat benda-benda ini, jadi tak perlu marah pun,” katanya kepada HibGlam selepas sidang akhbar drama Hikayat Pak Belalang, di sini hari ini.

Sementara itu, dia juga sedar kewujudan isu segelintir pelakon menegur sikap beberapa pendatang baharu yang dikatakan semakin besar kepala.

Katanya, perkara itu mungkin tercetus kerana individu tersebut mempunyai rupa dan bakat memudahkan mereka mengundang perhatian ramai.

“Saya sedar ada orang hentam artis baharu besar kepala dan sebagainya tetapi hakikatnya mereka tak sedar pun perkara itu.

Kalau artis baharu buat perangai begitu dengan saya, saya biarkan sahaja sebab mereka tak tahu pun.

“Kalau pelakon lama buat hal begitu, memang kenalah. Budak baharu lebih mudah dapat perhatian ramai sebab mereka ada rupa dan bakat,” katanya lagi.

Selain Bell, Hikayat Pak Belalang turut dibintangi Ruhainies, Amy Mastura dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Drama tersebut bakal ditayangkan menerusi saluran Astro Ceria setiap Isnin bermula 11 Disember ini, pukul 9 malam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok