‘Tersingkir GV10, ini bukan pengakhiran tapi permulaan baharu’

“SAYA terima keputusan ini tetapi pastinya memang ada rasa sedih dan kecewa,”

Demikian reaksi penyanyi penyanyi Noryn Aziz apabila namanya  diumumkan tersingkir pada konsert minggu kesembilan All Stars Gegar Vaganza (GV10), semalam.

Meskipun kecewa, Noryn atau nama penuhnya Norazmahwati Abdul Aziz, 46, tetap menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan sentiasa percaya dengan takdir Tuhan.

“Semua peserta mempunyai impian untuk melangkah ke final, begitu juga saya.

“Pertama saya percaya Allah yang menentukan sebegini dan pasti ada hikmah di sebalik semua yang berlaku. Saya percaya ini bukan pengakhiran tetapi permulaan baharu,” katanya kepada HibGlam semalam.

NORYN bersyukur kerana GV membuka ruang kepadanya untuk menimba lebih banyak ilmu selain membuat kemunculan semula.

Sementara itu, juara GV musim kelima itu tetap bersyukur kerana dapat menimba pelbagai ilmu sepanjang sembilan minggu berada dalam GV10.

“Pada akhirnya saya dapat macam-macam ilmu sepanjang berada di sini.

“Saya syukur sebab GV5 berjaya jadi platform untuk ‘comeback’ dan penyertaan kali ini lebih kepada menyempurnakan tugas sebagai bekas juara.

“Sejujurnya, tahap stres GV10 memang berbeza malah saya juga tidak begitu sihat minggu ini tetapi itu bukan alasan untuk tidak memberikan persembahan terbaik.

“Saya anggap tiada rezeki tetapi memang agak sedih sebab kalau boleh nak melangkah lebih jauh,” ujarnya.

Semalam, Noryn diumumkan sebagai peserta tercorot dengan kutipan markah sebanyak 55.25 peratus sekali gus tersingkir pada minggu kesembilan GV10.

Sebelum Noryn, Suki Low, Cliff Umar, Datuk Aishah, Ayai Illusi, Zamani dan Ezad Lazim merupakan peserta yang sudah meninggalkan GV10. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok