Pelakon baharu kekasih Noki, rancang nikah tahun depan

CEMBURU melihat ramai teman rapat sudah mendirikan rumah tangga, anggota kumpulan K-Clique, Noki mengakui tidak sabar menamatkan zaman bujang tahun hadapan.

Jelas pemilik nama penuh Ahmad Ikhwan Aji itu, dia sudah bertemu calon pilihan yang juga penggiat seni dan kini dalam fasa mengenali hati budi.

“Saya memang ada sasaran nak kahwin pada usia 25 tahun, tengok kebanyakan kawan rapat termasuk anggota K-Clique ramai dah berkeluarga, saya pun teringin menikmati bahagia macam mereka.

“Tapi sasaran dah terlepas, jadi saya tukar rancangan itu sebelum umur 35, cuma buat masa ini antara saya dan si dia baru saja berkenalan.

“Kalau nak kata ke fasa lebih serius, itu memang ada kerana saya rancang berkahwin tahun depan, namun itu sekadar perancangan. Doakan kami,” katanya kepada HibGlam.

Berkongsi lanjut mengenai  wanita yang kini bertakhta di hatinya, penyanyi rap asal Sabah itu menyatakan mereka  serasi kerana berada dalam bidang yang sama.

“Dia juga orang seni, baru bina kerjaya sebagai pelakon. Kami sekepala dan mungkin kerana itu mudah serasi.

“Bukannya saya tak mahu memperkenalkan dirinya kepada umum, semua ini masih terlalu awal dan buat masa ini biarlah saya sahaja yang tahu,” katanya selepas tayangan perdana filem War on Teror: KL Anarki, baru-baru ini.

Melakonkan watak anggota polis bernama Zack, selebriti berusia 29 tahun itu mengakui teruja dapat berdialog dalam loghat Sabah.

Filem arahan Kroll Azry dan Frank See yang akan menemui penonton pada 23 November ini itu turut dibintangi Aedy Ashraf, Farali Khan, Adlin Aman Ramlie, Qi Razali, Daiyan Trisha, Naque Ariffin, Wan Hanafi Su, Kahoe Hon dan Daniel Ga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok