Satu Malaysia berdebar tunggu tanggal 30 Jun?

SEJAK mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu, ramai rakyat Malaysia terus menantikan perkembangan terkini tentang persiapan perkahwinan antara penyanyi dan pelakon sensasi Bella Astillah dan tunangnya, Syed Saddiq.

Ramai yang sudah tidak sabar untuk melihat pasangan yang diberi julukan sebagai BASS itu naik pelamin selepas melalui pelbagai onak duri dalam kehidupan masing-masing.

Sebelum ini ada ura-ura mengatakan pasangan sama cantik sama padan itu akan melangsungkan perkahwinan pada bulan Jun dan dijangka akan diijabkabulkan pada tanggal 26 Jun 2026.

Namun, perkara itu dinafikan Bella atau nama lengkapnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, baru-baru ini.

Menurut Bella, dia dan tunangnya kini sedang berdebar menantikan hari penentuan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33, daripada tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu.

“Persiapan kahwin? Tunggu selepas 30 hari bulan nanti baru saya fikirkan. Sekarang ini kami lebih fokus tentang keputusan rayuan pembebasan YB Syed Saddiq. Jadi sama-sama kita doakan.

Kita fokus mana yang perlu diutamakan terlebih dahulu. Biarlah semua kes mahkamah berakhir dulu baru kita fikirkan tentang persiapan perkahwinan.

“Saya percaya ramai orang di luar sana yang mendoakan. Doa-doa kalian itu jauh lebih penting,” katanya.

Dakwaan netizen

Bella juga menyangkal dakwaan kononnya dia bakal melangsungkan perkahwinan pada tarikh 26 Jun 2026 seperti yang digembar-gemburkan.

Tiada istilah nak kahwin ikut tarikh yang cantik. Seperti saya katakan, kita semua menunggu kes mahkamah YB Syed Saddiq selesai dulu,” jelas Bella lagi.

Tambah pelantun lagu Lebih Indah Berpisah itu lagi, dia akan kongsikan butiran lanjut tentang hari bahagianya selepas 30 Jun 2026.

Dalam masa yang sama, ibu kepada dua orang cahaya mata itu memanjatkan rasa syukur dan terharu atas doa-doa rakyat Malaysia buatnya dan Syed Saddiq.

Saya amat terharu apabila ramai yang mendoakan kami. Doa-doa kalian jauh lebih penting. Terima kasih kerana mengambil berat tentang kami dan sentiasa memberikan sokongan.

“Saya gembira bila lihat peminat buat hantaran dalam media sosial, ada yang buat video. Saya sangat hargainya,” luahnya.

Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan membuat keputusan melepas serta membebaskan Syed Saddiq, selepas membenarkan rayuan beliau untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.

Sehari selepas itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Majlis perkahwinan Bella dan Syed Saddiq diramalkan bakal menjadi wedding of the year pada tahun ini.

Majlis pertunangan mereka pada Mac lalu disiarkan secara langsung di Astro Awani. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok