“SAYA hampir-hampir nak meroyan. Selepas melahirkan Akira rasa macam ‘lost’.
Demikian pengakuan isteri kepada pelawak Shuib Sepahtu, Watie yang melalui tempoh berpantang sangat mencabar selepas melahirkan anak sulungnya, Akira Juwita Zahra, dua bulan lalu.
Menurut Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 38, pada mulanya dia tidak menyedari perkara tersebut, sehinggalah ditegur penjaganya ketika berpantang.
“Shuib perasan dia nampak saya macam lain. Dia tunjuk video-video saya sebelum bersalin. Dia cakap mummy cuba tengok inilah diri mummy. Sehari sebelum bersalin saya ceria dan gelak-gelak.
Lepas bersalin saya banyak termenung. Bila tengok TikTok saya menangis tersesak-esak. Saya tengok kisah bayi meninggal, kena campak. Saya jadi takut. Takut Allah pinjamkan Akira sekejap sahaja.
“Mula-mula dulu Akira menangis pun saya tak sanggup nak dengar. Kenapa dengan dia ni? Dia okey ke? Bila dia termenung saya tanya dengan Shuib kenapa dia termenung. Bila dia senyap saya tanya kenapa dia senyap. Bila dia berak saya tanya kenapa najis dia warna macam tu. Sampai Shuib tanya saya nak apa sebenarnya.
“Apa yang membuatkan saya tersedar saya hampir meroyan apabila penjaga saya dalam pantang yang tegur. Dia lihat saya lain dan dia kata puan saya lihat puan ni macam nak meroyan,” katanya ketika ditemui di pelancaran minyak wangi Perfume Paradise X Mua Bellaz, baru-baru ini.
Tambahnya lagi perkara tersebut berlaku selama hampir sebulan dan dia terpaksa berperang dengan diri sendiri ketika majlis akikah yang berlagsung baru-baru ini.
Saya jadi rimas dengan orang ramai yang datang termasuklah dengan mak saya sendiri. Ketika itu saya hanya suara Shuib sahaja yang boleh buat saya rasa tenang.
“Tengok ramai-ramai orang tu saya rasa macam nak jerit tapi kita layan macam biasa dan tersenyum. Walhal dalam diri sedang berperang dengan perasaan,” jelasnya.
Selain berperang dengan emosi, Watie juga berhadapan dengan masalah bengkak susu.
Pekerjaan yang tiada cuti adalah pam susu. Bila kita buat keputusan untuk menyusu badan selama dua tahun, maka dua tahun lah kita tak cuti. Kena pam susu setiap dua jam. Kadang-kadang rasa tak boleh ke hari Ahad saya nak cuti daripada pam susu.
“Tetapi bila tengok wajah Akira saya teruskan juga walaupun kadang kala rasa tersiksa waktu nak pam susu,” kongsinya.
Namun kata Watie, fasa hampir meroyan itu sudah pun berlalu dan dia sudah boleh keluar menghadiri majlis dan bertemu orang ramai.
“Saya bersyukur kerana Shuib sentiasa ada dengan saya untuk membantu dan memberikan sokongan sepanjang tempoh berpantang. Dia tahu macam mana diri saya yang sebenar sebelum melahirkan Akira,” katanya. – KOSMO! ONLINE
