PENYANYI Bella Astillah menyifatkan segelintir individu masih mampu ‘menutup mata’ tentang kekurangan pasangan selagi masih boleh memberi usaha untuk memperjuangkan sesebuah hubungan.
Menurut Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, isu pasangan lebih memandang wang ringgit berbanding usaha tidak boleh disasarkan secara terus terhadap golongan wanita semata-mata kerana hal tersebut bukan berkaitan jantina, sebaliknya sifat individu.
“Benda ini kita tak boleh label secara spesifik sama ada wanita atau lelaki, bukan fasal jantina.
“Ada juga lelaki yang tidak kisah perempuan itu tiada rupa pun tetapi ada usaha dan sebagainya.
“Namun, hal yang saya perasan adalah bila lelaki itu ada kekurangan, perempuan boleh tutup mata kalau mereka ada usaha untuk hubungan,” katanya ketika bersiaran di radio semalam.
Tambahnya, tugas kaum lelaki adalah mudah iaitu hanya memberikan usaha terbaik bagi memastikan hubungan terus berjalan dengan baik.
“Jadi, sebenarnya kerja lelaki ini senang saja, beri sahaja banyak usaha.
“Duit itu tiada pun tak mengapa asalkan ada usaha seperti rajin ‘call’ atau tanya khabar,” katanya lagi.
Namunm, dia memberitahu wujud segelintir lelaki yang tidak sependapat dengan perkara tersebut sehingga melabel golongan wanita hanya mementingkan harta benda.
“Penting usaha tersebut. Namun, lelaki pula dia salah faham dan ‘trigger’.
“Bila dengar je tentang usaha, mereka akan cakap perempuan fikir tentang duit. Tidak, sebenarnya bukan tentang duit,” jelasnya.
Bella berkata demikian dalam memberi pandangan mengenai isu usaha seorang pasangan lagi penting dari wang ringgit yang menjadi topik perbahasan dalam segmen 3 Pagi Era semalam.
Pendapat Bella juga menerima respons positif ramai yang rata-ratanya menegaskan wang tunai tidak menjamin kebahagiaan berkekalan. – HIBGLAM
