PENYANYI Khai Bahar mengakui pernah berdepan masalah mental dan kebimbangan melampau sehingga mendengar bisikan agar mencederakan diri sendiri termasuk terjun dari balkoni rumah dan terfikir untuk membunuh diri.
Kata pemilik nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin, 29, bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini, dia mengajak abang dan kakak ipar tinggal bersama.
“Saya pernah diserang ‘anxiety’ sekitar 2019, rasa sunyi dan tak tahu nak buat apa, jadi ajak abang tinggal bersama. Waktu itu isterinya sedang hamil anak kedua.
“Setahun lebih saya berperang dengan perasaan, bila nak tidur dengar macam orang bisik-bisik dan suruh terjun balkoni.
“Sampai satu tahap saya simpan pisau dalam almari, sebab kalau saya nampak pisau, saya terbayang rodok diri sendiri.
“Jadi saya risau tinggal sendirian kerana takut bisikan itu mendorong diri buat tindakan buruk,” dedahnya ketika ditemu bual dalam sebuah program hiburan.
Menurut penyanyi lagu Bayang itu, keadaan mental yang tidak menentu membuatkannya lebih selesa memerap di rumah andai tiada urusan kerja atau hal penting lain.
“Kalau nak keluar pun atas urusan kerja, kalau tak saya lebih banyak berkurung di rumah. Kena ambil masa lama untuk kembali keluar seperti dahulu,” katanya.
Menurut Khai, 29, antara pengalaman tidak dapat dilupakan adalah dikejarkan ke hospital pada tengah malam akibat sesak nafas yang menyerang secara tiba-tiba.
“Saya alami sesak nafas sampai terpaksa dikejarkan ke hospital tapi selepas pemeriksaan doktor saya disahkan sihat tanpa sebarang penyakit,” katanya.
Mengakui terlalu terbawa-bawa dengan perasaan, masalah ‘anxiety’ tercetus selepas dirinya terkait dengan pelbagai cerita sensasi.
“Mungkin saya terlalu memikirkan persepsi orang yang membuatkan emosi menjadi tidak stabil.
“Alhamdulillah, masalah itu dapat diatasi dan saya dedahkan perkara ini agar dapat menyuntik kesedaran mengenai isu kesihatan mental,” ujarnya.
“Kepada mereka yang sedang melalui fasa sukar, jangan berasa malu atau berlengah mendapatkan bantuan pakar,” ulasnya. – KOSMO! ONLINE