“SAYA terpaksa ambil steroid sebab suara serak dan hampir hilang.”
Itu perkongsian penyanyi Noryn Aziz yang terpaksa mengambil suntikan steroid bagi memulihkan masalah peti suara yang dialami sejak awal minggu lalu.
Noryn, 46, berkata, suaranya mula berubah menjadi terlalu serak dan keadaan bertambah teruk sehingga memaksa dirinya berjumpa dengan pakar perubatan.
“Mungkin sudah terlalu stres untuk pertandingan ini sehingga saya perlu mengambil suntikan steroid dan Allah SWT juga mungkin kata sudah-sudahlah (berhenti bertanding), sebelum jadi ting-tong (gila).
“Saya terpaksa ambil steroid pada minggu lalu, sebelum ini tidak pernah pun sebab suara sudah terlalu serak dan hampir hilang,” katanya selepas konsert minggu kesembilan All Stars Gegar Vaganza (GV10), semalam.
Berkongsi mengenai dakwaan dilihat kerap menggigil terutama pada bahagian tangan setiap kali membuat persembahan, penyanyi yang sinonim dengan karya rentak R&B itu mengakui tidak terlepas daripada mengalami keresahan atau anxiety.
“Perasan ya tangan saya menggigil? Sebenarnya kerap juga saya alami anxiety sepanjang bertanding GV10.
Sementara itu, pemilik nama penuh Norazmahwati Abdul Aziz turut mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran dan jemputan nyanyian daripada syarikat gergasi demi memberi fokus kepada GV10.
Namun, dia tidak pernah berasa kecewa apatah lagi terkilan kerana perlu menolak rezeki tersebut.
“Tidak rasa ralat pun sebab saya sentiasa percaya dengan rezeki Allah.
“Saya yakin walaupun sudah tolak jemputan nyanyian tersebut, akan ada hikmah lain yang Tuhan sudah aturkan,” jelasnya yang mengakui kecewa apabila diumumkan tersingkir sebelum melangkah ke peringkat suku akhir minggu depan.
Terdahulu, nama Noryn diumumkan menjadi bintang ketujuh yang tersingkir dalam program tersebut selepas memperoleh markah 55.25% menerusi persembahannya membawakan lagu Tegar nyanyian asal Datuk Seri Rossa. – HIBGLAM