SELEBRITI serba boleh, Zizan Razak menghormati keputusan sahabat baiknya, Hairul Azreen yang memutuskan untuk bersara daripada dunia seni.
Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 39, berpendapat aktor filem Malbatt: Misi Bakara itu pasti sudah membuat pertimbangan terbaik dan mengambil kira pandangan keluarga sebelum mengambil keputusan itu.
“Saya sokong sekiranya keputuan itu adalah yang terbaik buat Hairul.
“Sebelum ini dia pernah menyuarakan hasrat mahu melihat anak-anak membesar depan mata kerana sudah terlepas banyak momen penting kerana sibuk memenuhi komitmen sebagai pelakon.
“Mungkin sudah sampai masa dia luangkan masa untuk isteri dan anak-anak kerana. Dia pasti tahu apa yang terbaik buat dirinya dan keluarga.
Lagipun, sudah beberapa kali Hairul mengalami kecederaan ketika penggambaran filem. Saya fikir mungkin ini juga faktor dia mahu merehat,” katanya.
Zizan yang mencipta nama sebagai pelawak, pelakon, penyanyi dan pengacara berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media Konsert ST12 dan Nidji Live In Sabah anjuran syarikat miliknya, ZR Project serta MW Pertama.
Mengulas mengenai kerjaya seninya, Zizan yang mula dikenali menerusi program realiti Raja Lawak berkata, meski masih aktif dia kini lebih selektif baik dalam bidang lakonan mahupun nyanyian.
“Buat masa ini saya gembira terutama sebagai pelakon kerana itu pekerjaan idaman saya sejak kecil.
“Bagaimanapun, mutakhir ini saya lebih selektif lebih-lebih lagi soal watak, skrip atau lagu kerana tidak mahu buat perkara sama sahaja.
“Kematangan membuatkan saya semakin berhati-hati dalam bekerja. Mungkin dahulu saya main terima sahaja tawaran berlakon tetapi apabila keluar di pawagam, ada ketikanya saya sedar boleh buat lebih baik daripada itu.
“Apa yang saya buat sekarang untuk kebaikan diri. Saya mahu jadi pelakon yang lebih bagus dan versatil,” katanya.