Jamal Abdillah ‘adiwira’ pentas, anak-anak

GENAP sudah 50 tahun kembara seni Raja Pop, Jamal Abdillah yang mula mencipta nama apabila dijulang sebagai juara Bintang RTM 1979.

Lima dekad berlalu, momentum kariernya sebagai penyanyi berkaliber sukar digugat. Ada sahaja karya baharu satu persatu undangan persembahan pentas, majlis eksklusif dan konsert disempurnakan bagai tiada lelah, sedangkan usia beliau kini sudah mencecah 64 tahun.

Bukan sahaja handal di pentas sehingga tidak putus undangan menjayakan persembahan, pemilik nama sebenar Jamal Ubaidillah Mohd Ali itu hebat sebagai bapa.

Biar rancak melakukan persiapan konsert dan menguruskan bisnes ternakan, anak jati Ipoh, Perak itu tidak pernah lupa akan tanggungjawabnya menguruskan anak-anak bersama isteri tercinta.

Selain Osama Yamani, 21 dan Ahmad Zaki Yamani, 17, daripada perkahwinan terdahulu, menerusi mahligai cinta yang dibina dengan Datin Zai Izzati pada 2017, Jamal dikurniakan empat anak kecil iaitu Nur Azura Yamani, 3, El Isaac Yamani atau Zack, 2, Iskandar Rayyan Yamani, 1, dan Rahil Laura Salsabila Yamani, empat bulan.

Akuinya, walauhpun mempunyai pembantu rumah, urusan menyediakan susu bayi terutama pada waktu malam tetap dilakukan secara bergilir-gilir dengan isteri.

“Semua anak- anak tidur dengan kami. Disebabkan bimbang terjatuh, kami bentang tilam di lantai dan tidur beramai-ramai.

Apabila anak terjaga nak susu, saya pun ada bangun buat, tak pun saya akan tolong tukar lampin. Apabila ramai anak kecil, kena ringan tulang.

“Awal dahulu masa anak pertama lahir agak kekok sebab dah lama tiada anak kecil tapi sekarang saya makin handal,” ujarnya sambil berseloroh.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok