‘Sedih melepaskan anak sulung’ – Laila Nasir terima menantu

TIADA yang lebih menggembirakan pelakon senior Laila Nasir, 55, apabila selamat menerima menantu sulungnya pada 6 Jun lalu dalam sebuah acara tertutup di sebuah hotel di ibu kota.

Putera sulung Laila, Badrul Mukhriz Yeop Abdullah, 31, memilih Natilia Fazdina Khaizatul Fairuz sebagai pilihan hatinya untuk hidup bersama melayari bahtera perkahwinan.

Pasangan sama padan sama cantik yang masing-masing bekerja dalam bidang pentadbiran itu turut diraikan pada 20 Jun lalu di sebuah premis acara di Puchong.

Laila atau nama sebenarnya, Norlaila Nasir yang seorang merupakan ibu tunggal menzahirkan rasa sebak dan terharu kerana buat kali pertama menerima menantu sulung.

“Perasaan sedih melepaskan anak sulung ke pangkuan wanita yang kini bergelar isterinya turut bercampur baur diiringi dengan tangisan kegembiraan.

Kalau suami saya masih hidup lagi, tentu dia juga akan menjadi insan yang paling gembira di muka bumi ini melihat anak kami ke jenjang pelamin.

“Tentunya, saya sudah bersedia untuk menerima hakikat sedari dulu bahawa anak yang ditatang bagai minyak yang penuh ini akan bergelar suami orang dan memikul tanggungjawab lain,” kata wanita kelahiran Machang, Kelantan itu.

ANAK bujang kepada pelakon senior Laila Nasir iaitu Badrul Mukhriz selamat bergelar suami kepada wanita pilihan, Natilia Fazdina.

Lidah lagi tergigit’ 

Tambahnya, untuk melepaskan anak bukan sesuatu perkara yg mudah.

“Ironinya, ia mengambil masa bagi golongan ibu seperti saya yang kali pertama melalui fasa ini. Tambahan pula, saya bergelar ibu tunggal.

Tidak mudah untuk membesarkan dua anak serta menguruskan semuanya sendiri, namun dengan sokongan ibu serta adik-beradik lain, semuanya dilihat lancar. Malah persiapan perkahwinan ini pun turut dibantu adik-beradik lain.

“Apapun, yang lebih utama adalah semoga ikatan yang dibina ini akan bahagia sampai ke syurga,” katanya yang baru selesai penggambaran sebuah drama di Lenggong Perak baru – baru ini.

Ungkap pemegang watak Mona dalam drama rantaian Nur itu lagi, sebagai ibu, dia akan sentiasa mendoakan kesejahteraan anakanda dan menantunya dalam membina keluarga sakinah, mawaddah dan warahmah.

Hidup berumah tangga ini banyak ragamnya. Namun, apa yang utama kedua mereka kenalah menjaga keharmonian dan sering bertolak ansur.

“Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula manusia biasa,” kata bintang filem Bayangan Maut dan Harry Boy itu.

Majlis pernikahan berkenaan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat juga sahabat handai.

Berita gembira itu turut dikongsi menerusi media sosial rakan selebriti dan majlis bertandang pasangan tersebut juga berlangsung pada 27 Jun lalu di sebuah hotel terkemuka di ibu kota. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok