SELEPAS 19 tahun menjalin pertunangan, pelakon Tan Sri Michelle Yeoh akhirnya bergelar isteri kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Ferrari, Jean Todt, semalam.
Pasangan itu disatukan dalam sebuah majlis yang dihadiri keluarga dan teman rapat mereka di Geneva, Switzerland.
Berita gembira tersebut dikongsi seorang jemputan merangkap pelumba Formula 1, Felipe Massa yang turut menyampaikan ucapan tahniah buat pengantin.
“Selamat mendirikan rumah tangga Jean Todt dan Michelle Yeoh, sayang kamu,” tulis pelumba kelahiran Brazil itu menerusi Instagram.
Massa juga berkongsi paparan kad jemputan hari bersejarah antara , Yeoh, 60, dan Todt, 77.
“Kami bertemu di Shanghai pada 4 Jun 2004. Tarikh 26 Julai 2004, JT melamar MY dan bersetuju.
“Hari ini (semalam) selepas 6992 hari, dikelilingi keluarga dan rakan, kami sangat gembira meraikan hari istimewa ini,” tulis dalam kad jemputan tersebut.
Difahamkan, Michelle berkenalan dengan Todt pada Jun 2004 di Shanghai Grand Prix, China sebelum mengumumkan pertunangan sebulan selepas itu.
Ratu Cantik Malaysia 1983 itu diundang bagi melaksanakan publisiti untuk jenama kereta Ferrari, manakala Todt pula bergelar Pengurus Besar pada masa tersebut.
Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 itu pernah mendedahkan Todt membantu menghalau petugas membersihkan pentas pada acara berkenaan kerana melayannya dengan buruk. -HIBGLAM