“Kalau arwah papa ada, mesti dia seronok dan bangga.”
Demikian respons anak kepada pengarah dan penerbit terkenal, Allahyarham Mamat Khalid iaitu Amen Khalid mengenai kejayaan aktor, Bell Ngasri yang dijulang sebagai Bintang Paling Popular ABP35 semalam.
Menurut Amen atau nama penuhnya Mohd Khalid Amen, kemenangan Bell semalam turut membuatkan dirinya bersorak sebelum menitiskan air mata apabila keputusan diumumkan.
“Alhamdulillah kami sekeluarga tumpang gembira dan bangga sebab akhirnya dia dapat juga mengenggam trofi anugerah.
Memang sangat menangis dan teringat usaha arwah papa sebagai pencetus watak Barkoba. Terharu dengar sorakan ‘Yak Yak Yeah’ bergema dalam Istana Budaya malam tadi.
“Watak Barkoba memang arwah papa ciptakan untuk dia, tak sangka jadi satu jenama besar hari ini,” katanya kepada HibGlam hari ini.
Dalam pada itu, dia juga menyifatkan Bell sebagai pelakon yang sangat mudah untuk bekerjasama selain mempunyai pelbagai idea unik.
“Terlalu banyak perkara baik tentang dia. Sangat mudah memberi kerjasama dan sangat merendah diri.
Bell juga antara pelakon kegemaran arwah papa, mereka sudah lama bekerjasama sebenarnya.
“Dia memang sudah layak menang ditambah pula watak Barkoba sangat dekat dengan hati rakyat Malaysia,” ujarnya yang mempunyai perancangan untuk menghasilkan sebuah drama mengenai Barkoba satu hari nanti.
Berkongsi lanjut, Amen memberitahu dia bakal memulakan penggambaran drama 19 Puasa sekitar Oktober depan.
“Kemenangan Bell membuatkan saya lebih bersemangat untuk berkarya.
Insya-Allah kami akan mulakan penggambaran 19 Puasa pada Oktober nanti untuk tayangan pada Hari Raya Aidilfitri tahun depan.
“Semestinya watak Barkoba akan ada, cuma Bell belum dimaklumkan lagi,” katanya lagi.
Bell atau nama penuhnya Ngasrizal Ngasri mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai Bintang Paling Popular sekaligus menewaskan pencabar terdekat iaitu pelakon, Anna Jobling dan penyanyi, Aina Abdul.
Selain Bintang Paling Popular, dia turut membawa pulang trofi bagi kategori Artis Komedi Popular.
Ini merupakan trofi kemenangan pertamanya meskipun sudah berkecimpung dalam dunia seni sejak 37 tahun lalu. – HIBGLAM