SUBANG JAYA – Jenazah penyanyi Allahyarham Rohana Jalil, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21, pukul 11.45 pagi tadi.
Sebelum itu, solat jenazah penyanyi popular era 1980-an itu disempurnakan di Masjid Al-Falah USJ9, di sini.
Kira-kira 300 ahli keluarga, saudara-mara, rakan selebriti dan kenalan hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada arwah.
Antara rakan artis yang hadir memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham termasuk, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Nash, Datuk Ziela Jalil, Fasha Sandha, Joe Flizzow, Jaafar Onn, Azizul Khamis, Ramlah Ram, Herman Tino dan Azian Mazuan Sapuan .
Terdahulu, Allahyarham Rohana, 68, dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak dua bulan lalu akibat kebocoran usus meninggal dunia pukul 11.33 malam tadi.
Sepanjang berada di hospital, doktor mengesahkan masalah kebocoran usus yang dihadapu mengakibatkan kuman merebak ke beberapa organ utamanya seperti paru-paru dan buah pinggang hingga terpaksa diletakkan di wad pemantauan.
Jantung pemilik nama sebenar Dara Abdul Jalil, 68, itu dikatakan boleh terhenti secara tiba-tiba kerana jangkitan kuman semakin serius.
Biarpun dalam kesakitan, penyanyi itu tidak kenal erti menyerah dan terus berjuang melawan penyakitnya itu hingga denyut nafas terakhir.
Allahyarham yang berasal dari Kota Tinggi, Johor mula menceburkan diri dalam bidang seni selepas memenangi pertandingan Bintang RTM pada 1980.
Namanya terus mendaki kemasyhuran apabila lagu Rayuanku yang juga sentuhan komposer Allahyarham A Ali berjaya mencetuskan fenomena sekitar 1988.
Lagu lain dendangan Rohana yang menjadi siulan ramai hingga kini adalah Resahku, Kerana Dia Kita Terpisah, Faez, Jauh Terkenang, Jangan Main Mata dan Naluri Cinta, duet bersama To’ki.
Allahyarham juga pernah meraih tempat ketiga persembahan terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) pertama pada 1986 menerusi lagu Cinta Yang Terbiar disusuli naib juara persembahan terbaik dalam pertandingan sama dua tahun selepas itu bagi lagu Rayuanku.
Pemergian penghibur kesayangan ramai ini meninggalkan suami, Jahangir Khan dan tiga cahaya mata perempuan termasuk penyanyi dan pelakon, Kilafairy. – HIBGLAM