PU Abu hidup bahagia dengan dua isteri

Pendakwah bebas sensasi, Pencetus Ummah (PU) Abu mengakui bahagia hidup dengan dua isteri, Ain Afini dan Hana.

“Ya betul, saya berpoligami,” demikian maklum balas PU Abu mengenai status terkini rumah tangganya.

PU Abu atau nama lengkapnya Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi mendedahkan perkahwinan bersama kedua-dua isterinya berada dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah, saya menjalani proses (poligami) yang sangat baik, kedua-dua isteri saya juga setakat ini harmoni,” katanya.

Dalam pada itu, PU Abu menegaskan dakwaan kononnya dia dan isteri kedua masih belum rujuk adalah tidak benar, sebaliknya mereka berdua sudah lama kembali bersama secara sah.

“Saya cuma boleh cakap saya ada dua isteri, selain sudah rujuk lama dengan Hana (isteri kedua).

“Bercerai atau rujuk, semuanya datang daripada saya. Saya adalah pelafaznya, segala kenyataan yang benar adalah daripada saya,” jelasnya ketika ditemui di majlis Sidang Media Pelancaran Pakej Umrah Mukim 80 Hari, petang semalam.

Paling utama kata Abu, dia mengharapkan orang ramai mendoakan kebahagiaan rumah tangganya selain enggan lagi dipandang negatif mahu pun dicemuh netizen berkaitan kontroversi terdahulu.

“Saya minta doakan yang baik-baik sebab saya melalui proses yang sangat panjang dalam usaha membina keluarga yang lebih baik dan bahagia.

“Saya tidak mahu lagi dipandang negatif kerana dulu sebut sahaja nama PU Abu, pasti orang akan ungkit kesilapan lalu. Benda itu saya harap tidak berlaku lagi,” katanya.

PU Abu dan isteri pertama Ain Afini berkahwin pada Ogos 2022 dengan dikurniakan tiga cahaya mata.

Namun krisis rumah tangga mereka mula mendapat perhatian sekitar April 2019 apabila Ain Afini mendedahkan telah diceraikan ketika sarat hamil tujuh bulan.

Ain turut memberitahu punca perceraian itu disebabkan orang ketiga iaitu ibu tunggal yang dikenali sebagai Hana Azraa.

Bagaimanapun, PU Abu dan Ain kembali rujuk semula selepas dua minggu perkahwinan antara PU Abu dan Hana.

Hana dan PU Abu pula berkahwin pada Mei 2019 dan mempunyai seorang cahaya mata, namun rumahtangga mereka hanya bertahan setahun sebelum bercerai.

Konflik rumah tangga antara PU Abu dan Hana terlerai apabila hubungan mereka kembali pulih selepas kedua-duanya mengambil jalan untuk berdamai. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok