Pelakon Hannah Delisha mengakui drama Andai Itu Takdirnya cukup menguji tahap kemampuan mental serta fizikal apabila menuntutnya menangis dalam hampir kesemua episod.
Kata pelakon asal Singapura itu, kepenatan dan penderaan emosi yang dilalui bagaimanapun terbayar apabila melihat maklum balas positif daripada penonton.
Semua itu meyakinkannya Hannah bahawa emua kerja keras diberikan sepanjang penggambaran selama ini sebagai kepuasan yang berbaloi.
“Ikutkan amanah digalas untuk menjiwai watak Aleya sememangnya mencabar memandangkan boleh dikatakan dalam setiap episod isteri teraniaya itu menangis.
“Memang sangat-sangat penat. Apabila balik rumah saya kena rehat secukupnya, selain buat pula persediaan untuk babak seterusnya pada keesokan hari.
“Tapi saya sangat gembira sebab kami semua memang bekerja keras untuk projek ini. Saya nampak kru produksi dan pelakon lain bersungguh-sungguh bekerja
“Bagi saya, kisah ini meninggalkan impak yang sangat besar kepada penonton hingga trending di Twitter, TikTok dan media sosial lain. Pengalaman ini berbaloi,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menerusi drama bersiri 60 episod yang bersiaran awal Mac lalu, aktres berusia 27 tahun itu membawakan peranan sebagai isteri yang diseksa suami, Syed Adam Aizril lakonan Shukri Yahaya.
Menurut Hannah lagi, kelebihan inti pati plot yang bersandarkan kejadian benar ini turut membuatkannya lebih menjiwai karakter Aleya dengan sepenuh hati.
Disebabkan itu, akuinya setiap kali selesai menyempurnakan sesuatu penerbitan dia lebih selesa mengambil cuti pendek bagi merehatkan minda sebelum menyambung projek baharu.
“Saya sudah memulakan rutin bagi diri berehat sebelum buat projek seterusnya sudah lama sebab kita perlu mengumpul semula tenaga dan apabila masuk set seterusnya, minda kita pun rasa segar,” katanya.
Begitupun, tambah Hannah bukan bermakna dia langsung enggan terbabit dalam mana-mana aktiviti termasuk membabitkan tawaran sebagai duta produk kerana perkara berkenaan boleh dipertimbangkan.
“Apabila sudah biasa bekerja kita akan sentiasa ligat. Macam tugasan mewakili jenama, saya tetap pertimbangan,” katanya yang menjadi duta Elegant Cosmetics.