‘Message for P’ demi Gaza, Hafiz Mahamad tak gentar

Sedar mempunyai ‘big following’ dalam media sosial, pasangan pempengaruh, Hafiz Mahamad dan isteri, Syafiqah Aina lantang menyuarakan solidariti terhadap Palestin.

Menurut Hafiz, sebagai individu yang mempunyai ramai pengikut di media sosial, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menyampaikan perjuangan demi menyuntik kesedaran tentang isu pembantaian etnik di Palestin terhadap orang ramai.

Jumlah pengikut bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan, sebaliknya datang dengan tanggungjawab. 

“Saya jarang bersuara tentang isu semasa, tetapi apabila berkaitan Palestin, saya rasa itu peranan sebagai orang Islam untuk terus menyebarkan kesedaran,” katanya.

Justeru, Hafiz dan Aina tampil dengan sebuah video berjudul ‘Message for P’ yang menggunakan bahasa Arab sebagai medium untuk menyebarkan mesej dengan lebih meluas. 

Harapan saya agar mesej itu didengari dan difahami secara langsung oleh saudara Islam kita di Gaza.

“Dalam video tersebut kami menampilkan perlambangan bersalaman dan menghulur tangan sebagai simbolik mengajak semua pempengaruh dan masyarakat global untuk meraikan perjuangan ini,” jelasnya.

Hafiz turut menasihati orang ramai agar tidak mudah menghakimi dan mengecam mana-mana pempengaruh atau selebriti yang enggan menggunakan platform media masing-masing demi menyokong Palestin.

Mungkin setiap orang ada cara tersendiri untuk membantu saudara kita disana. Ada yang hanya berdoa, memberi sumbangan atau menggunakan media sosial untuk sama-sama bersolidariti. 

“Saya tahu, bila bercakap soal Palestin, sedikit sebanyak memberi kesan pada sistem algoritma media sosial kita dan berisiko disekat. Tapi saya percaya, banyak alternatif lain yang kita berjaya buat untuk terus sebarkan kesedaran ini.

Contoh, dalam video saya. Saya namakan ‘Message for P’. Tidak menggunakan nama Palestin sebab video itu mungkin disekat,” tambah Hafiz lagi.

Dalam perkembangan lain, Hafiz yang juga pengasas Ainaa Beauty baru sahaja selesai menghasilkan 10 siri kisah transformasi pengguna jenama kecantikan itu.

Seramai 70 orang yang terlibat dalam penghasilan video tersebut yang terdiri daripada kakitangan dan usahawan Ainaa Beauty. – HIBGLAM 



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok