KETIKA media sosial menguasai perhatian ramai, nilai seseorang pengaruh tidak sekadar diukur menerusi angka tontonan atau jumlah pengikut, sebaliknya kuasa sebenar tercipta apabila platform digital dimanfaatkan untuk menyatukan masyarakat.
Berpegang kepada semangat itu, hampir 40 pempengaruh dari seluruh negara bakal turun padang dalam sebuah acara gergasi sempena sambutan Hari Malaysia menerusi Perlawanan Influencer Malaysia (PIM) 2026, sekali gus membuktikan bola sepak masih menjadi bahasa perpaduan paling ampuh buat rakyat Malaysia.
Lebih istimewa, perlawanan tersebut bukan sekadar menyajikan aksi bola sepak, sebaliknya menghimpunkan dunia sukan, hiburan dan ekonomi kreatif dalam satu platform penuh patriotik menjelang Hari Malaysia.
Selain menyaksikan aksi pempengaruh terkenal, penonton turut berpeluang melihat kemunculan legenda bola sepak negara, selebriti tempatan serta tetamu jemputan daripada pelbagai organisasi kerajaan dan swasta.
Gabungan itu menjadikan PIM2026 lebih daripada sebuah perlawanan persahabatan, malah medan menyemarakkan semangat kebersamaan dalam suasana santai tetapi penuh makna.
Lebih menarik, hampir 40 pencipta kandungan terbabit memiliki gabungan hampir 20 juta pengikut merentasi TikTok, Instagram, Facebook dan YouTube, sekali gus memberikan impak promosi cukup besar kepada rakan strategik serta penaja.
Antara nama sudah disahkan menyertai acara terCEO.FIFA, Erul Samah, Taufiq Hanafi, Aiman Sekaichii dan Adrian Edy, manakala senarai penuh akan diumumkan secara berperingkat.
Hari Malaysia
Menurut Pengarah Eksekutif Nakhoda Action Lab, Sayf Ismail, PIM2026 menjadi inisiatif pertama menghimpunkan industri sukan dan hiburan dalam sebuah acara berskala besar bersempena Hari Malaysia.
“Selari dengan tema Hari Malaysia 2026, Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati, kami memperkenalkan Perlawanan Influencer Malaysia sebagai platform menggabungkan dunia sukan dengan industri hiburan.
“Kami mahu Hari Malaysia diraikan lebih dekat dengan generasi muda menerusi sukan, kandungan digital serta pengaruh positif pencipta kandungan.
“Kami percaya sukan mampu membina perpaduan, menyemarakkan semangat patriotisme dan menghubungkan komuniti dengan industri kreatif negara,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Projek PIM2026, Suzana Sukaimi berkata, acara tersebut jauh melangkaui sebuah perlawanan bola sepak kerana turut menjadi platform jaringan profesional, pembangunan ekonomi industri pempengaruh serta pengukuhan hubungan antara pencipta kandungan, jenama dan masyarakat.
“Program seperti ini membuka peluang kepada pempengaruh membina jaringan profesional, menjalinkan kerjasama dengan jenama serta agensi, selain memperluaskan potensi kerjaya mereka.
“Melalui PIM 2026, kami berharap platform ini mampu menghubungkan komuniti, mencipta lebih banyak peluang baharu serta memberi impak positif kepada industri kreatif dan masyarakat,” ujarnya.

SUZANA percaya PIM2026 akan menjadi satu jaringan yang memberi impak positif.
Dalam pada itu, pempengaruh Erul Samah melihat PIM2026 sebagai peluang terbaik memanfaatkan kekuatan media sosial untuk tujuan lebih positif berbanding hanya mengejar sensasi.
“Kami sedang merancang strategi pemasaran dengan menghasilkan pelbagai kandungan kreatif bersama pempengaruh lain bagi menarik perhatian orang ramai. Misalnya, kami memuat naik video latihan bola sepak sehingga timbul persoalan dalam kalangan pengikut mengapa kami begitu bersungguh-sungguh berlatih.
“Dahulu orang banyak bergantung kepada televisyen untuk mengetahui sesuatu acara, tetapi hari ini kami mempunyai kekuatan sebagai pencipta kandungan.
“Jadi, gunakanlah pengaruh itu ke arah lebih baik supaya masyarakat turut sama terlibat. Paling penting, kami mahu membawa mesej positif.
“Tidak perlulah setiap masa menghasilkan kandungan berasaskan kontroversi semata-mata kerana media sosial juga mampu menjadi medium menyatukan masyarakat,” tuturnya.
BUMIHAYAT tampil sebagai Penaja Utama PIM 2026, manakala Durioo+ menyokong penganjuran tersebut sebagai Rakan Strategik bersama beberapa lagi penaja lain.
Dengan gabungan sukan, hiburan, teknologi digital serta semangat cintakan negara, PIM 2026 diharap menjadi platform berimpak tinggi dalam memperkasakan ekonomi pencipta kandungan, menghubungkan komuniti, penaja dan rakan strategik, sekali gus membina ekosistem digital negara yang lebih mampan.
Masuk percuma, acara anjuran Nakhoda Action Lab tersebut bakal berlangsung pada 15 September 2026, bermula pukul 8 malam hingga 11 malam di Stadium Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru, Kuala Lumpur. – HIBGLAM
